PKTAAB USM DEKATI KOMUNITI, PENDUDUK TERIMA MANFAAT SARINGAN KESIHATAN




Segari, Lumut | 21 November 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan komuniti menerusi penyertaan dalam Program Jelajah Sejahtera Desaku @ DUN Pangkor. Penduduk setempat berpeluang mendapatkan manfaat saringan dan konsultasi kesihatan yang disediakan oleh pasukan PKTAAB USM, merangkumi pemeriksaan kesihatan asas, khidmat nasihat serta pendidikan kesihatan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.


Turut hadir ialah Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, yang memberikan sokongan terhadap usaha memperluas jangkauan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.


Inisiatif ini mencerminkan komitmen PKTAAB USM dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan obesiti.
Penyertaan Mobile Coach turut memperkukuh usaha pendidikan kesihatan komuniti melalui aktiviti kesedaran kanser payudara, khususnya pendidikan dan demonstrasi teknik Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP). Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan serta memperkasa wanita agar lebih peka terhadap perubahan pada payudara dan kepentingan pengesanan awal kanser payudara.


Majlis penutup program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas PKTAAB USM, pihak penganjur serta agensi yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini.
