Skip to main content

USM PERKASA KOMPETENSI KESELAMATAN PEKERJA SINARAN PERUBATAN ZON UTARA, TARIK PENYERTAAN ANTARABANGSA

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 19 November 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memartabatkan piawaian keselamatan radiasi negara menerusi penganjuran Kursus Latihan Pensijilan Pegawai Perlindungan Sinaran (Perubatan) Siri 2 Zon Utara yang berlangsung dengan jayanya di Bertam Resort, di sini hari ini.

Lebih bermakna, penganjuran program bagi Kategori 3 (Risiko Rendah – Sunset Clause) ini merupakan manifestasi kolaborasi strategik antara dua kampus USM, yang menggabungkan kepakaran pengurusan daripada Unit Latihan Pensijilan PPS (P) Kampus Kesihatan dan Unit Latihan CTC, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).

Penganjuran siri kali ini turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa dari Brunei Darussalam, sekali gus membuka ruang potensi kerjasama strategik serantau dalam bidang keselamatan dan perlindungan sinaran perubatan pada masa hadapan, khususnya menjelang tahun 2027.

Kursus ini dirangka khusus bagi memenuhi garis panduan Pensijilan Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) (Perubatan) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan Bahagian III Peraturan 16(1), Peraturan Sinaran Keselamatan Asas 2010 di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304). Ia menyasarkan pengamal perubatan, pergigian, juru X-ray, serta individu berlesen di bawah Akta 304 (PPS Fasa 1) dalam memperkukuh kemahiran teknikal serta pematuhan kawal selia di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Penyelaras Unit Latihan Kursus Zon Utara, Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz, manakala majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim.

Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul komprehensif yang disampaikan secara langsung oleh barisan penceramah dan pakar berpengalaman, iaitu Profesor Emeritus Dato' Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pn. Habibah Mat Akib, Profesor Madya Dr. Diyana Osman dan Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz.

Kejayaan penganjuran program hasil kolaborasi rentas kampus ini membuktikan keupayaan USM sebagai pusat latihan bertauliah yang diiktiraf oleh KKM dalam melahirkan tenaga kerja profesional yang kompeten demi menjamin keselamatan pesakit dan petugas kesihatan.