BENGKEL MRI BREAST IMAGING: BRIDGING IMAGING AND INTERPRETATION PERKASA KEMAHIRAN PROFESIONAL DALAM PENGIMEJAN PAYUDARA




BERTAM, 18 November 2026 – Unit Imejan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menganjurkan MRI Breast Imaging Workshop: Bridging Imaging and Interpretation bertempat di BMU dan Unit Imejan, PKTAAB, USM Bertam.
Bengkel sehari ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesional kesihatan dalam bidang pengimejan resonans magnetik (MRI) payudara, khususnya berkaitan prinsip asas pengimejan, penggunaan protokol dan sekuens standard, interpretasi imej serta penyediaan laporan berdasarkan sistem MR BI-RADS.
Program ini menghimpunkan pelbagai profesional kesihatan termasuk pakar radiologi, pegawai perubatan, juru X-ray, pakar bedah serta anggota kesihatan lain yang terlibat dalam pengurusan pesakit kanser payudara.


Pengisian bengkel merangkumi sesi ceramah ilmiah dan perkongsian kes klinikal yang disampaikan oleh pakar serta penceramah jemputan. Antara topik yang diketengahkan ialah MRI Breast Fundamental oleh Dr. Chia Kok King, Pakar Radiologi Klinikal dan Pengimejan Payudara, Hospital Langkawi, serta Approach to Evaluation of Breast Lesion oleh Dr. Hasmah Hussin, Pakar Bedah dan Felo Pembedahan Onkoplastik PKTAAB.
Turut diketengahkan ialah topik Ultrafast Protocol for MRI Breast yang disampaikan oleh Mr. Wahyu Wadhianto dari GE Healthcare, selain perkongsian mengenai teknik pengoptimuman pemberian media kontras bagi meningkatkan kualiti imej MRI payudara oleh Mr. Tony Ong dari Bayer Radiology.


Peserta turut mengikuti sesi praktikal secara hands-on di Unit Imejan yang memberi penekanan kepada persediaan pesakit, teknik kedudukan pesakit (patient positioning), pengoptimuman protokol MRI serta pengendalian media kontras. Sesi demonstrasi dan praktikal Automated Breast Ultrasound (ABUS) yang dikendalikan oleh Miss Khen Chuan Yen dari GE Healthcare turut melengkapkan pengisian bengkel.
Selain itu, sesi MRI Breast: Standard Reporting MRI Breast with BI-RADS – Real Case Sharing yang disampaikan oleh Dr. Chia Kok King memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah penyediaan laporan MRI payudara yang tepat dan sistematik berdasarkan klasifikasi BI-RADS menerusi perkongsian kes klinikal sebenar.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi dan keyakinan profesional kesihatan dalam pelaksanaan serta interpretasi pemeriksaan MRI payudara, di samping memperkukuh kerjasama multidisiplin dalam pengurusan pesakit kanser payudara.


Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen berterusan PKTAAB, USM dalam memperkasa pembangunan profesional serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengimejan diagnostik, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada pesakit.
