PKTAAB PERKUKUH PENGLIBATAN DALAM EKOSISTEM PENYELIDIKAN DAN INOVASI DI FOI 2026




PUTRAJAYA, 17 NOVEMBER 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengambil bahagian dalam Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 yang berlangsung pada 17 hingga 19 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Penganjuran FOI 2026 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertemakan “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” menjadi platform yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat bagi mengetengahkan idea, penyelidikan serta inovasi yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Sempena penganjuran FOI 2026, beberapa orang pensyarah PKTAAB turut menghadiri sesi IDEAS IN ACTION: Majlis Penyampaian Geran Penyelidikan bagi penyampaian Geran Penyelidikan Eksploratori dan Transformatif (GET) Fasa 1 dan 2 Tahun 2026.


Dr. Maisarah Nasution Waras telah menerima Geran Penyelidikan Eksploratori (GE) Fasa 1 Tahun 2026 menerusi projek “Elucidating the Adsorption Mechanism and Molecular Insights of Novel Porous Eutectogel-Based Deep Eutectic Solvents as Potential Adsorbents for the Removal of Phthalates Derived from Microplastics”. Kajian ini memfokuskan pembangunan bahan penjerap inovatif berasaskan porous eutectogel yang dihasilkan daripada deep eutectic solvents (DES) bagi penyingkiran sebatian ftalat, di samping memahami mekanisme penjerapan serta interaksi molekul yang terlibat.
Dr. Nor Shuhada Murad @ Mansor menerima Geran Penyelidikan Eksploratori (GE) Fasa 1 Tahun 2026 menerusi projek “Elucidating Gaps in Cascade of Care Model for Tuberculosis Preventive Treatment Among Household Contacts of Smear Positive PTB Patients in Penang, Malaysia”. Kajian ini bertujuan mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan rawatan pencegahan tuberkulosis (TB) dalam kalangan ahli keluarga pesakit TB paru-paru di Pulau Pinang bagi membantu menambah baik usaha pencegahan dan kawalan penularan penyakit tersebut.
Bagi Fasa 2 Tahun 2026 pula, antara penerima geran daripada PKTAAB ialah Profesor Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi yang menerima Geran Penyelidikan Transformatif (GT) menerusi projek “ExeCogim: A Proof-of-Concept Study of Genotype-Exercise Interactions for Cognitive Health in Middle-Aged and Older Malaysian Adults”. Kajian ini meneliti hubungan faktor genetik dan aktiviti fizikal terhadap kesihatan otak serta fungsi kognitif golongan dewasa pertengahan usia dan warga emas, dengan kerjasama penyelidik USM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, ChM Dr. Muhammad Azrul Zabidi menerima Geran Penyelidikan Transformatif (GT) menerusi projek “Multi-Phase Hybrid Tungsten-Titanium (WC-TiC) Polymer-Amorphous Glass Composites: A Transformative Approach in High-Performance Radiation Shielding for Targeted Oral Cancer Therapy”. Kajian ini memfokuskan pembangunan bahan pelindung sinaran berprestasi tinggi bagi meningkatkan perlindungan tisu sihat dalam rawatan kanser mulut.
Dr. Mohammad Syamsul Reza Harun pula menerima Geran Penyelidikan Eksploratori (GE) menerusi projek “In Silico Rational Design and In Vitro Validation of Toxoplasma gondii Derived Thermostable Protein for Vaccine Bio-Thermal Stabilization”. Kajian ini memfokuskan pembangunan protein yang stabil terhadap perubahan suhu dan berpotensi meningkatkan kestabilan vaksin, dengan kerjasama beberapa institusi penyelidikan tempatan.


Dalam majlis tersebut, Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Noor Fatimah Yahaya turut hadir sebagai wakil kepada Dr. Maisarah Nasution Waras.
PKTAAB turut mengetengahkan kepakaran dan inovasi pasukan Brachytherapy menerusi perkongsian video berkaitan pendekatan rawatan HyBIRT dan HyBIRTA yang dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan rawatan kanser lidah dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan organ, fungsi serta kualiti hidup pesakit. Inovasi ini turut mendapat sokongan Dana Inovasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
HyBIRT menggabungkan teknik brakiterapi dengan radioterapi IMRT, manakala HyBIRTA mengintegrasikan teknologi hipertermia sebagai pendekatan tambahan dalam rawatan kanser. Perkongsian tersebut turut memaparkan penggunaan teknologi perubatan di PKTAAB, termasuk sistem radioterapi, peralatan brakiterapi, teknologi pengimejan dan mesin hipertermia bagi menyokong rawatan pelbagai jenis kanser seperti kanser lidah, payudara, paru-paru, hati, nasofarinks serta kanser kepala dan leher.
Dalam pada itu, PKTAAB turut menghantar beberapa orang wakil dalam kalangan staf untuk menghadiri dan memeriahkan penganjuran FOI 2026 sebagai tanda sokongan terhadap program yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam ekosistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi negara.


Secara keseluruhannya, penglibatan PKTAAB dalam FOI 2026 mencerminkan komitmen institusi dalam menyokong agenda penyelidikan, inovasi dan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang kesihatan dan rawatan kanser.
Penyertaan ini juga selari dengan aspirasi FOI 2026 untuk mengangkat inovasi sebagai pemangkin pembangunan negara, di samping memastikan kemajuan teknologi terus memberikan manfaat kepada manusia dan kesejahteraan masyarakat.
