SENYUM MANIS RUN 2026 TARIK 1,300 PESERTA, PERKASA KESIHATAN KARDIOMETABOLIK KOMUNITI




PULAU PINANG, 15 November 2026 – Program Senyum Manis Run 2026 anjuran bersama Diabetes Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Penang Adventist Hospital telah berlangsung dengan jayanya, selamat dan teratur di Padang Kawad, Kampus Induk USM.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 1,300 peserta, dengan 60 peratus daripadanya terdiri daripada staf dan pelajar USM. Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, YB Phee Syn Tze.


Selain aktiviti larian sejauh 5 km, PKTAAB turut melaksanakan Inisiatif Saringan Kardiometabolik Komuniti (Cardiometabolic Community Screening Initiative) yang memberi fokus kepada pengesanan awal faktor risiko penyakit kardiovaskular.


Dari perspektif klinikal, saringan ini memainkan peranan penting dalam mengenal pasti individu berisiko, termasuk mereka yang belum menunjukkan gejala, bagi membolehkan penilaian lanjut, intervensi awal dan rujukan klinikal yang bersesuaian. Pendekatan ini berpotensi mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang serta beban penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam komuniti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PKTAAB, USM dalam memperkasakan kesihatan komuniti melalui integrasi promosi kesihatan, saringan klinikal, pencegahan penyakit dan kolaborasi strategik.


Setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan serta seluruh jawatankuasa pelaksana, rakan kerjasama, penaja dan sukarelawan atas komitmen dan semangat kebersamaan dalam menjayakan program ini.
