PKTAAB PERKUKUH HALA TUJU JARINGAN INDUSTRI DAN KOMUNITI 2027 MELALUI PROJEK BERIMPAK TINGGI




BERTAM, 13 November 2026: Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh hala tuju jaringan industri dan komuniti bagi tahun 2027 melalui Bengkel Perancangan Strategik Jaringan Industri dan Masyarakat PKTAAB 2027 yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam.
Bengkel anjuran Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan PKTAAB ini dihadiri oleh staf akademik serta pegawai penyelidik PKTAAB bagi merangka hala tuju mampan dalam menterjemahkan kepakaran penyelidikan perubatan dan kanser kepada manfaat nyata buat sektor industri serta komuniti.
Bengkel tersebut memberi penekanan kepada pembangunan projek yang bukan sahaja melibatkan pemindahan ilmu dan kepakaran, malah mempunyai sasaran keberhasilan, rakan pelaksana serta kaedah pengukuran impak yang jelas. Pendekatan ini dihasratkan dapat menghubungkan keperluan sebenar komuniti dan industri dengan kekuatan kepakaran PKTAAB.


Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, penganjuran siri bengkel perancangan ini disokong menerusi peruntukan dana sebanyak RM5,000 daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM. Dana berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melatih penyelidik dan menyusun strategi agar kertas cadangan (proposal) yang dihasilkan berimpak tinggi serta memenuhi kriteria universiti.
"Kecemerlangan sesebuah institusi penyelidikan kini tidak lagi diukur sekadar menerusi penerbitan dan geran semata-mata, sebaliknya keupayaan menterjemahkan kepakaran serta hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal untuk masyarakat dan industri. Kita mahu beralih daripada pendekatan melaksanakan program untuk komuniti kepada pembangunan program bersama komuniti berdasarkan keperluan sebenar," katanya.
Beliau menambah, PKTAAB mempunyai kelebihan tersendiri menerusi gabungan kepakaran doktor dan tenaga profesional kesihatan untuk meneroka potensi di bawah pendekatan Care Economy, merangkumi penjagaan pesakit, penjagaan paliatif, sokongan keluarga, serta pengesanan awal kanser.
Menurut beliau, kekuatan kepakaran klinikal, penyelidikan dan kesihatan di PKTAAB boleh dimanfaatkan untuk membangunkan intervensi yang responsif kepada keperluan masyarakat, dengan tumpuan terhadap manfaat berterusan dan bukan hanya bilangan aktiviti yang dianjurkan.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Jaringan Komuniti USM, Prof. Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak membentangkan taklimat berteraskan empat pilar strategik iaitu projek rintis (sandbox), pembinaan kapasiti (capacity building), pusat nilai komuniti (value hub), dan sistem pengukuran impak (impact measurement system). Beliau turut menggariskan tujuh Bidang Fokus Utama (KFA) dengan penekanan kepada prinsip Leave No One Behind untuk golongan rentan.
Bagi jaringan industri pula, Pengarah Pejabat Jaringan Industri USM, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil berkongsi peluang kerjasama menerusi ekosistem Industry on Campus (IOC) serta ketersediaan geran padanan (matching grant) universiti sehingga RM500,000 dan geran IDTM bagi pemindahan teknologi serta pemerkasaan kurikulum.


Turut berkongsi kepakaran ialah Felo Penyelidik Unit PENERAJU BJIM USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik yang menekankan kepentingan penyediaan proposal yang menyediakan penyelesaian menyeluruh (full-baked solution) serta menerapkan elemen inovasi sosial demi kelestarian sosioekonomi.
Pengisian bengkel turut menekankan keperluan merangka projek secara bersama dengan pihak berkepentingan, mengenal pasti masalah yang hendak diselesaikan, menetapkan indikator keberhasilan dan merancang mekanisme kesinambungan selepas tempoh pelaksanaan.
Bengkel yang dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon pada sesi pagi dan diakhiri dengan sesi perbincangan strategik oleh 6 kumpulan serta rumusan oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) PKTAAB, Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya pada sesi petangnya. Hasil perbincangan berkenaan akan dimuktamadkan pada bengkel susulan pada 27 November depan bagi memastikan dua projek sasaran universiti dapat direalisasikan sepenuhnya.
Pada sesi perbincangan strategik, perbincangan idea awal jaringan industri dan komuniti berasaskan kepakaran serta potensi kerjasama PKTAAB. Cadangan ini akan diperhalusi dari aspek keperluan penerima manfaat, kesesuaian rakan strategik, pelan pelaksanaan, sumber dan kaedah penilaian impak sebelum pemilihan projek dibuat.


Bengkel susulan yang dijadualkan pada 27 November 2026 menjadi platform untuk menyaring dan memuktamadkan satu projek industri serta satu projek komuniti berimpak tinggi. Kedua-dua cadangan ini dirancang untuk dikemukakan kepada Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof. Dato’ Dr. Azlan Amran, selaras dengan sasaran yang ditetapkan universiti kepada PKTAAB.
Langkah susulan itu dijangka memperjelas hala tuju pelaksanaan projek 2027, khususnya dari segi jaringan rakan, nilai kepada penerima manfaat, petunjuk prestasi yang boleh disahkan dan potensi kelestarian hasil projek.
