PENDUDUK SETEMPAT MANFAATKAN SARINGAN KESIHATAN SEMPENA KARNIVAL KAMPUNG ANGKAT MADANI 2026




AYER ITAM, 14 November 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa kesihatan dan kesejahteraan komuniti menerusi penyertaan dalam Karnival Kampung Angkat MADANI @ Kampung Melayu 2026 yang berlangsung meriah hari ini.
Penduduk setempat tidak melepaskan peluang memanfaatkan perkhidmatan saringan kesihatan yang disediakan oleh pasukan PKTAAB, USM, merangkumi pemeriksaan tekanan darah, paras glukosa darah secara rawak, paras kolesterol serta pengukuran Indeks Jisim Badan (BMI).


Inisiatif ini merupakan antara usaha mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan obesiti.


Selain aktiviti saringan kesihatan, karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk senamrobik, sukan rakyat, pameran agensi, jualan rakyat dan kenduri rakyat yang menggalakkan interaksi serta mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat setempat.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM.


Lebih daripada sekadar pemeriksaan kesihatan, penglibatan PKTAAB dalam program ini mencerminkan usaha berterusan USM untuk membawa kepakaran dan perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada masyarakat, sekali gus memperkasakan komuniti melalui pendidikan kesihatan, pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup sihat.
