PKTAAB USM, IKRAM PULAU PINANG BERSAMA PERKASA KESEJAHTERAAN WARGA EMAS




KEPALA BATAS, 29 Oktober 2026 – Kesejahteraan warga emas bukan hanya bergantung pada penjagaan kesihatan fizikal, malah turut merangkumi kesihatan mental, kestabilan emosi, fungsi kognitif dan sokongan sosial yang berterusan.
Menyedari keperluan tersebut, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyumbang kepakaran profesional dalam Program Kesejahteraan Optimum & Komuniti Mesra Usia 2026 yang berlangsung di Kompleks Darul Hanan, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 29 Oktober lalu.


Inisiatif anjuran bersama Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Pulau Pinang itu turut mendapat kerjasama Darul Hanan serta Rumah Ngaji Pulau Pinang (RNPP), dengan penyertaan seramai 84 orang penghuni Darul Hanan dan 39 orang ahli jawatankuasa, petugas kesihatan serta staf yang terlibat.
Penglibatan PKTAAB menerusi Unit Psikologi Klinikal serta Unit Senaman dan Rehabilitasi memberi penekanan kepada pendekatan penjagaan warga emas secara menyeluruh, melangkaui aspek kesihatan fizikal semata-mata.
Antara pengisian utama ialah ceramah bertajuk “Bahagia di Usia Emas: Menjaga Minda, Emosi dan Makna Kehidupan” yang disampaikan oleh Puan Nurul Hidayah binti Mohd Sa’at, Pegawai Psikologi Klinikal PKTAAB. Perkongsian tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan kesihatan mental, pengurusan emosi dan pembinaan kehidupan yang bermakna dalam fasa penuaan.


Selain itu, pasukan Unit Senaman dan Rehabilitasi mengendalikan aktiviti fizikal ringan serta rangsangan kognitif bagi menggalakkan pergerakan, mengekalkan fungsi fizikal dan merangsang keupayaan mental warga emas mengikut kesesuaian mereka.
Aspek kesejahteraan turut diperluas kepada penjaga menerusi sesi sokongan psikososial bersama caregivers Darul Hanan. Pendekatan ini mengiktiraf peranan penjaga yang turut memerlukan sokongan emosi dan kefahaman dalam mengurus keperluan warga emas.
Selain pengisian kesihatan, program turut memberi ruang kepada pengukuhan hubungan sosial dan kerohanian menerusi aktiviti bersama Rumah Ngaji Pulau Pinang bagi menyuburkan nilai spiritual serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penghuni.
Keprihatinan terhadap warga emas yang mempunyai keterbatasan mobiliti turut dizahirkan melalui aktiviti ziarah kasih oleh sukarelawan IKRAM Kepala Batas kepada penghuni yang terlantar.


Pelaksanaan program ini memperlihatkan pembahagian peranan yang saling melengkapi antara pihak terlibat. IKRAM Pulau Pinang menerajui penganjuran dan penyelarasan program, PKTAAB USM menyumbang kepakaran kesihatan, MAINPP memberikan sokongan dana, manakala Darul Hanan dan RNPP menyokong pelaksanaan pengisian bersama komuniti.
Usaha ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 17: Kerjasama demi Matlamat, yang menekankan kepentingan akses kepada kesejahteraan dan perkongsian strategik antara institusi dengan komuniti.
PKTAAB USM merakamkan penghargaan kepada IKRAM Pulau Pinang selaku rakan penganjur, MAINPP atas sokongan dana, pengurusan Darul Hanan, Rumah Ngaji Pulau Pinang serta semua petugas dan sukarelawan yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini.
