DUA PELAJAR PhD RAIH ANUGERAH DI KAZAKHSTAN, USM DIPILIH TUAN RUMAH 12th USERN CONGRESS 2027




ASTANA, KAZAKHSTAN – Dua pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa apabila berjaya meraih anugerah pembentangan lisan dalam Universal Scientific Education and Research Network (USERN) Congress 2026 yang berlangsung pada 8 hingga 10 November 2026 di Astana, Kazakhstan.
Muhammad Zulfadli bin Mohd Sobri, pelajar PhD di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Hazwani, berjaya meraih anugerah Best Oral Presenter, sekali gus membuktikan keupayaan beliau dalam menyampaikan hasil penyelidikan secara berkesan dan meyakinkan di hadapan komuniti saintifik antarabangsa.


Turut melakar kejayaan ialah Nur Qariemah binti Azahar, pelajar PhD di bawah penyeliaan Dr. Mohd Syahir bin Mansor, yang berjaya meraih anugerah First Runner-Up bagi kategori pembentangan lisan dalam persidangan yang sama.
Pencapaian kedua-dua pelajar ini mencerminkan kecemerlangan penyelidikan pascasiswazah PKTAAB serta komitmen berterusan pusat berkenaan dalam melahirkan penyelidik muda yang berdaya saing di peringkat global.
Persidangan antarabangsa ini turut disertai oleh tiga orang pensyarah PKTAAB, iaitu Dr. Siti Mardhiana Mohamad, Dr. Ernest Mangantig dan Dr. Ng Siew Kit, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penglibatan akademik, jaringan kerjasama penyelidikan dan hubungan strategik dengan komuniti saintifik antarabangsa.
Penyertaan delegasi PKTAAB dalam USERN Congress 2026 bukan sahaja menyediakan platform perkongsian ilmu dan hasil penyelidikan, malah membuka peluang kepada pembangunan kolaborasi penyelidikan rentas disiplin serta pengukuhan hubungan akademik antara institusi.
Lebih membanggakan, Jawatankuasa Eksekutif USERN telah memilih PKTAAB dan USM sebagai penganjur 12th USERN Congress 2027, yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada November 2027.
Pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan PKTAAB dan USM dalam menerajui penganjuran persidangan saintifik antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai hab penyelidikan, inovasi dan jaringan akademik global.
Penganjuran USERN Congress 2027 di Pulau Pinang dijangka membuka peluang lebih luas kepada penyelidik, ahli akademik dan pelajar pascasiswazah untuk berkongsi penemuan saintifik, meneroka kerjasama penyelidikan rentas disiplin serta membina jaringan strategik dengan institusi penyelidikan dari pelbagai negara.
Selain meningkatkan keterlihatan USM di peringkat antarabangsa, penganjuran ini turut berpotensi memperkukuh peranan PKTAAB sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi kesihatan, khususnya melalui penglibatan aktif penyelidik muda dalam ekosistem penyelidikan global.
Kejayaan pelajar PhD PKTAAB serta pemilihan USM sebagai tuan rumah USERN Congress 2027 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan bakat penyelidik masa hadapan, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan memperkukuh reputasi penyelidikan USM di persada dunia.


