IPSC ANJUR SESI DIALOG AWAM DRAF AWAL PELAN TINDAKAN USM 2030 DI PKTAAB




KEPALA BATAS, 11 November 2026 – Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Sesi Dialog Awam Draf Awal Pelan Tindakan USM 2030 di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM hari ini sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan maklum balas dan pandangan warga universiti dalam memperkukuh perancangan strategik USM menjelang tahun 2030.


Sesi dialog yang berlangsung pada jam 11.00 pagi itu dikendalikan oleh Pengarah IPSC, Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd, bersama-sama Profesor Ts. Chm. Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, serta pegawai-pegawai IPSC. Turut hadir ialah Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin bersama-sama pengurusan tertinggi PKTAAB.


Sesi yang dilaksanakan secara hibrid itu berlangsung secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Cancer Teaching Complex (CTC), manakala staf dan pelajar PKTAAB turut mengikuti sesi berkenaan secara dalam talian.
Sesi ini memberi peluang kepada warga PKTAAB untuk meneliti draf awal Pelan Tindakan USM 2030 serta mengemukakan pandangan, cadangan dan maklum balas berkaitan hala tuju strategik universiti.


Pelaksanaan dialog awam ini merupakan sebahagian daripada pendekatan libat urus IPSC dalam mendapatkan pandangan warga universiti bagi memastikan perancangan strategik yang dirangka mengambil kira aspirasi, keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh pusat tanggungjawab.
Penglibatan PKTAAB dalam sesi ini mencerminkan komitmen warga pusat untuk bersama-sama menyumbang kepada proses perancangan strategik universiti serta mendukung aspirasi USM ke arah merealisasikan Pelan Tindakan USM 2030.
