Skip to main content

PKTAAB USM UNGGUL: KEKAL PENARAFAN 5 DAUN PEJABAT HIJAU TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT, PENGIKTIRAFAN PROJEK LESTARI BERIMPAK TINGGI DUA TAHUN BERTURUT-TURUT DAN RAIH ANUGERAH KECEMERLANGAN KKP

PULAU PINANG, 11 November 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakar kecemerlangan apabila meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam Majlis Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 yang berlangsung di Dewan Budaya, USM, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., dengan turut dihadiri Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM.

Antara kejayaan utama ialah PKTAAB berjaya mengekalkan Penarafan 5 Daun bagi Audit Kelestarian Pejabat Hijau selama tiga tahun berturut-turut (2024–2026), di samping meraih Hadiah Saguhati Penarafan Pejabat Hijau USM 2026 bernilai RM500 berserta sijil penghargaan. PKTAAB turut memperoleh Pengiktirafan Projek Lestari Berimpak Tinggi bagi tahun kedua berturut-turut (2025–2026), sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membudayakan amalan hijau dan inovasi kelestarian.

Kecemerlangan ini turut diperkukuh dengan penerimaan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan USM 2026.

Pasukan PKTAAB yang menerima sijil penarafan, anugerah dan hadiah kemenangan diketuai oleh Pengarah, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, diiringi Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A Karim, Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian; Dr. Maisarah Nasution Waras, Ketua Unit Persekitaran dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PKTAAB; serta wakil Jawatankuasa Kelestarian PKTAAB.

Bagi tahun 2026, pengiktirafan Projek Lestari Berimpak Tinggi dianugerahkan kepada projek "EcoSoap: Daripada Minyak Masak Terpakai kepada Pendidikan Kelestarian Komuniti yang Inklusif", diterajui oleh Dr. Siti Razila Abdul Razak.

Projek ini memanfaatkan minyak masak terpakai sebagai medium pendidikan STEM dan kelestarian komuniti, melibatkan 242 peserta daripada lima komuniti serta menghasilkan dua pendaftaran hak cipta. Inovasi ini turut diperluas melalui EcoSoap Adaptif untuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dengan sokongan geran universiti berjumlah RM10,000.

Jawatankuasa Kelestarian PKTAAB turut membuka reruai pameran bertemakan “Waste to Wonder”sempena majlis tersebut, dengan mengetengahkan pelbagai hasil upcycling, iaitu transformasi bahan terpakai kepada produk baharu yang bernilai tambah, termasuk inovasi EcoSoap. Pameran ini menyerlahkan kreativiti warga PKTAAB dalam mempromosikan amalan penggunaan semula sumber dan pengurangan sisa secara inovatif.

Kejayaan berterusan ini mencerminkan komitmen kolektif pihak pengurusan dan seluruh warga PKTAAB dalam membudayakan kelestarian, memperkukuh keselamatan pekerjaan serta memperkasa inovasi berimpak tinggi.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukan PKTAAB sebagai pusat kanser universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam perkhidmatan kesihatan, penyelidikan dan pendidikan, malah menjadi peneraju amalan kelestarian serta kesejahteraan komuniti, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan USM.