PKTAAB BENTUK WARGA KERJA BERIMEJ PROFESIONAL, BERETIKA DAN BERKUALITI




BERTAM, 11 November 2026 – Profesionalisme dalam perkhidmatan kesihatan bukan sahaja diukur melalui kepakaran dan kecekapan menjalankan tugas, malah turut terserlah melalui etiket, kemahiran komunikasi dan penampilan diri ketika berinteraksi dengan pesakit, waris serta masyarakat.
Seiring dengan keperluan tersebut, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Kursus Profesionalisme Etiket, Komunikasi dan Imej Profesional 2026 dengan menampilkan pempengaruh dan perunding imej, Wawa Idris. Kursus anjuran Cancer Teaching Complex itu berlangsung di Auditorium Sains@Bertam dan melibatkan warga kerja daripada pelbagai bidang perkhidmatan di PKTAAB.


Penyertaan merangkumi golongan profesional dan sokongan termasuk kejururawatan, pegawai perubatan, pentadbiran, unit imejan, makmal, farmasi serta Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), sekali gus memberi peluang kepada warga kerja untuk memperluas pengetahuan dan memahami kepentingan profesionalisme merentas bidang tugas.
Menerusi sesi perkongsian, Wawa Idris mengetengahkan aspek pembentukan imej profesional melalui penjagaan penampilan diri (grooming), pemilihan kod pakaian dan kesesuaian gaya mengikut persekitaran kerja, khususnya dalam bidang klinikal. Peserta turut didedahkan kepada asas etiket di tempat kerja, kemahiran komunikasi serta penggunaan bahasa tubuh yang bersesuaian bagi mewujudkan interaksi yang lebih yakin, positif dan profesional.


Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang menekankan bahawa setiap warga kerja memainkan peranan dalam mencerminkan imej dan reputasi organisasi melalui tingkah laku serta mutu interaksi dalam urusan seharian.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat mendorong warga kerja mengaplikasikan ilmu dan amalan yang dikongsikan dalam pelaksanaan tugas harian, sekali gus memperkukuh budaya kerja yang profesional, beretika dan berorientasikan kesejahteraan pesakit.


Inisiatif ini mencerminkan komitmen PKTAAB untuk terus meningkatkan kompetensi dan kualiti perkhidmatan melalui pembangunan profesional serta pembentukan sahsiah warga kerja secara berterusan.
