PEMILIHAN JAWATANKUASA PERSATUAN PELAJAR PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI (PKTAABSA) SIDANG AKADEMIK 2026/2027




BERTAM, 29 Oktober 2026 – Pemilihan Jawatankuasa Persatuan Pelajar Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAABSA) bagi Sidang Akademik 2026/2027 telah berlangsung pada Khamis, 29 Oktober 2026, dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang menerusi kaedah pengundian secara hibrid.
Pemilihan ini bertujuan memberikan peluang kepada para pelajar untuk menunaikan tanggungjawab serta menggunakan hak mereka dalam memilih barisan kepimpinan baharu persatuan bagi Sidang Akademik 2026/2027.
Bagi memudahkan penyertaan pelajar, proses pengundian dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu secara fizikal di Lobi Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA), Blok C, Sains@Bertam serta secara dalam talian.


Pelaksanaan kaedah hibrid ini membolehkan pelajar yang berada di sekitar Sains@Bertam hadir untuk mengundi secara fizikal, manakala pelajar yang tidak dapat hadir ke lokasi pengundian tetap berpeluang menunaikan tanggungjawab mereka secara dalam talian.
Pemilihan jawatankuasa ini merupakan platform penting dalam memupuk nilai kepimpinan, demokrasi dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Selain itu, proses ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk terlibat secara aktif dalam menentukan hala tuju persatuan serta memilih wakil yang mampu memperjuangkan kebajikan dan kepentingan mereka.


Pelaksanaan pengundian secara hibrid ini juga mencerminkan usaha persatuan dalam menyediakan kaedah pemilihan yang lebih fleksibel dan mudah diakses, selaras dengan keperluan serta komitmen akademik para pelajar.
Diharapkan barisan Jawatankuasa PKTAABSA yang terpilih bagi Sidang Akademik 2026/2027 dapat meneruskan usaha memperkukuh hubungan dalam kalangan pelajar, memperkasakan aktiviti persatuan serta menjadi penghubung yang berkesan antara pelajar dengan pihak pengurusan.


Semoga pemilihan ini menjadi landasan kepada pembentukan kepimpinan pelajar yang berwibawa, proaktif dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sahsiah serta kecemerlangan komuniti pelajar di PKTAAB, USM.
Teks disediakan oleh: Puan Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi & Puan Zurina Md Pazil
Teks disunting oleh: Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi
Foto: Bahagian Akademik dan Antarabangsa
