Skip to main content

KKTS Santuni Pesakit PKTAAB Melalui Inisiatif Beg Kelestarian Banner to Bag

KEPALA BATAS, 3 November 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat delegasi Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) yang diketuai oleh Pengarah Kampus, YBrs. Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, sempena penyerahan beg kelestarian menerusi projek Banner to Bag (B2B), hari ini.

Kunjungan ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh hubungan antara kampus dalam lingkungan USM, malah turut membawa mesej kelestarian dan keprihatinan terhadap kebajikan pesakit PKTAAB.

Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan atas inisiatif kreatif KKTSS yang mengitar semula banner terpakai untuk dihasilkan menjadi beg kelestarian. Usaha ini memberikan nilai baharu kepada bahan yang tidak lagi digunakan, sekali gus mengurangkan sisa buangan dan menggalakkan amalan penggunaan semula sumber secara bertanggungjawab.

Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, serta selari dengan aspirasi untuk memperkukuh amalan ekonomi kitaran dan membudayakan kelestarian.

Sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian, Pengarah KKTSS, YBrs. Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, turut menyampaikan beg-beg kelestarian yang dihasilkan menerusi projek Banner to Bag kepada para pesakit di PKTAAB.

Dalam pada itu, Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, turut menyampaikan buah tangan kepada para pesakit sebagai tanda ingatan dan keprihatinan pihak pusat. Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan serta memberikan sedikit kegembiraan kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan.

Pada akhir kunjungan, delegasi KKTSS turut dibawa melawat ke Unit Onkologi bagi meninjau kemudahan dan teknologi terkini rawatan kanser yang ditawarkan di PKTAAB.

Inisiatif ini membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar berkaitan pemeliharaan alam sekitar, malah turut merangkumi nilai kemanusiaan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam membina komuniti universiti yang lebih prihatin.