Skip to main content

KPT DAN USM DEKATI KOMUNITI PULAU AMAN MELALUI PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI: NADI DAN SHIELD

PULAU AMAN, 24 OKTOBER 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen mendekati komuniti melalui pelaksanaan Program KPT Prihatin MADANI menerusi Program NADI (Network for Awareness, Detection and Community Well-being) dan Program SHIELD (STEM Health Initiative for Education Learning and Disease Awareness) di Pulau Aman pada 23 hingga 24 Oktober 2026.

Program NADI memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai penyakit kanser, khususnya berkaitan tanda-tanda awal, pemeriksaan yang bersesuaian serta kepentingan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera. Inisiatif ini turut menjadi platform untuk menyampaikan ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat, di samping menyokong usaha penyelidikan serta penambahbaikan pendekatan kesedaran kesihatan dalam komuniti. Perkhidmatan lain yang turut disediakan merangkumi saringan kesihatan ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) serta Audiologi (Pendengaran), saringan kesihatan umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan dan kaunter Kenali Ubat Anda Bersama Unit Farmasi PKTAAB.

Sementara itu, Program SHIELD memberi pendedahan kepada murid-murid SK Pulau Aman mengenai bidang STEM bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak di bangku sekolah. Pendekatan ini diharap dapat menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan penerokaan ilmu baharu, sekali gus menyemarakkan minat murid untuk meneroka peluang dalam bidang sains, perubatan dan penyelidikan pada masa hadapan.

Pelaksanaan kedua-dua program ini mencerminkan peranan universiti dalam memperluas manfaat ilmu, penyelidikan dan kepakaran kepada masyarakat melalui kerjasama dengan institusi pendidikan, pihak kesihatan dan komuniti setempat.

Program ini dirasmikan oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dan turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian; Prof. Dr. Badrul Hisham bin Yahaya, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan; serta Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi.

Turut hadir ialah Puan Rohayu Ibrahim, Guru Besar SK Pulau Aman; Encik Zulkplee Yusoff, Pengerusi MPKK merangkap Ketua Kampung Pulau Aman; Dr. Shazatul Ezanni Samsudin, Pengerusi Program NADI; Dr. Nor Effa Syazuli Zulkafli, Pengerusi Program SHIELD, serta barisan pakar perubatan, pegawai perubatan dan petugas kesihatan dari PKTAAB serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Usaha ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti setempat dalam membina masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan serta melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim  
Disunting oleh: Dr. Shazatul Ezanni Samsudin   

Unit Media dan Perhubungan Awam  
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM