KPT PRIHATIN MADANI: LEBIH 200 PENDUDUK KAMPUNG POKOK ASAM MANFAATKAN PELUANG DAPATKAN SARINGAN KESIHATAN




SUNGAI PETANI, 1 November – Lebih 200 penduduk setempat mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan dan saringan kesihatan kanser menerusi Program KPT Prihatin MADANI Inisiatif Saringan Kanser (ISK) yang berlangsung di Masjid Kampung Pokok Asam, Sungai Petani, sekali gus mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan mengesan penyakit lebih awal.
Kehadiran yang menggalakkan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas, pesara dan penduduk setempat yang memanfaatkan peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan tanpa perlu hadir ke fasiliti hospital. Bagi sebahagian penduduk, penganjuran program seumpama ini memudahkan mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang mungkin sering ditangguhkan atas kekangan masa atau kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan.


Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi, bersama pasukan perubatan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM Bertam itu membawa tema “Cegah Awal, Sayangi Diri & Keluarga”. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program COMPASSION (Community Program for Sustainable Impact Mission), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama PKTAAB, Islamic Medical Association of Malaysia Response and Relief Team (IMARET), Audiolab serta Masjid Kampung Pokok Asam.
Antara pengisian utama program termasuklah saringan kesihatan umum, saringan kanser, pemeriksaan dan khidmat nasihat oleh pakar perubatan serta pameran kesedaran kanser. Kehadiran barisan pakar dan petugas kesihatan PKTAAB serta IMARET turut membuka ruang kepada penduduk untuk mendapatkan penerangan secara langsung, berkongsi kebimbangan berkaitan kesihatan serta memahami kepentingan mengenali tanda-tanda awal penyakit dan mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya diperlukan. Antara kanser yang di saring ialah kanser payudara, serviks, usus, hati dan prostat. Ujian penanda kanser (tumor marker), ujian darah dalam najis dan ultrasound telah dilakukan kepada mereka yang berada dalam kumpulan berisiko. Tiga orang pakar radiologi terlibat dalam melakukan ujian ultrasound dalam program ini.


Pendekatan turun padang ini amat bermakna dalam mendekatkan ilmu dan kepakaran kesihatan kepada masyarakat setempat. Perkongsian secara bersemuka memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pakar, sekali gus meningkatkan pemahaman mengenai aspek kesihatan yang mungkin kurang diketahui serta kepentingan mengambil langkah pencegahan dan mendapatkan pemeriksaan awal.
Penganjuran inisiatif ini bukan sahaja menyediakan akses lebih mudah kepada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, malah menjadi platform perkongsian ilmu dan kepakaran universiti secara langsung bersama masyarakat. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan USM dan PKTAAB dalam memperluas pendidikan kesihatan, memperkukuh kesedaran pencegahan penyakit serta mendekatkan perkhidmatan saringan kepada komuniti.


Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Disunting oleh: Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Musa
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
