Skip to main content

PROGRAM 3S PKTAAB ANGKAT KESEJAHTERAAN EMOSI DAN KEPIMPINAN BERKESAN

BERTAM, 20 Oktober 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memberi perhatian terhadap kesejahteraan emosi dan mental warga kerja menerusi penganjuran Program Sehati Sejiwa Sejahtera (3S) Siri 3 bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan, bertempat di Auditorium Sains@Bertam, hari ini.

Program yang bertemakan “Sehati Membimbing, Sejiwa Menilai: Ke Arah Warga Kerja Sejahtera” ini memberi penekanan terhadap kepentingan refleksi kendiri, kepimpinan berempati serta amalan penyeliaan dan penilaian prestasi yang adil dalam membentuk persekitaran kerja yang positif dan harmoni.
Program ini menghimpunkan seramai 72 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana PKTAAB. Penyertaan daripada pelbagai kumpulan perkhidmatan ini mencerminkan usaha bersama dalam memperkukuh amalan kepimpinan, penyeliaan dan penilaian prestasi yang berkesan demi mewujudkan persekitaran kerja yang sejahtera.
Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa kecemerlangan organisasi bukan sahaja bergantung pada pencapaian dan petunjuk prestasi utama (KPI), malah turut ditentukan oleh keupayaan pemimpin dan penyelia memahami keperluan, emosi serta cabaran yang dihadapi oleh warga kerja.
Beliau turut menggariskan prinsip “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” sebagai panduan dalam membangunkan organisasi yang cemerlang tanpa mengabaikan nilai empati, keprihatinan dan kesejahteraan warga kerja.
Program ini menampilkan dua sesi perkongsian utama yang dirangka bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan dan penyeliaan. Sesi pertama, “Lukisan Jiwa: Refleksi Kendiri untuk Kepimpinan yang Sejahtera dan Berinspirasi”, disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir, Pakar Psikologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan penekanan terhadap refleksi kendiri dan kesejahteraan diri sebagai asas kepimpinan yang berkesan.
Sesi kedua, “Secangkir Kopi, Sebuah Amanah: Penyeliaan Berkesan dan Penilaian Prestasi Adil”, disampaikan oleh Encik Muhammad Firdaus Abu Mansor, Kaunselor Staf, Bahagian Sumber Manusia. Sesi ini memberi tumpuan kepada kepentingan keadilan, ketelusan dan komunikasi berkesan dalam membimbing warga kerja serta melaksanakan penilaian prestasi secara profesional.
Penganjuran program ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, yang menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental dalam kehidupan seharian, termasuk dalam persekitaran pekerjaan.
Melalui program ini, warga PKTAAB diharap dapat memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesejahteraan diri, membina hubungan kerja yang lebih harmoni serta mengamalkan pendekatan kepimpinan dan penyeliaan yang lebih prihatin, adil dan berkesan.
Usaha ini mencerminkan komitmen PKTAAB dalam memupuk budaya kerja yang sejahtera, saling menyokong dan berteraskan nilai kemanusiaan demi kecemerlangan organisasi serta mutu perkhidmatan yang berterusan.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Foto: Norizan Ishak