YOUNG PHYSICIST CAMP 2026 CETUS MINAT GENERASI MUDA TERHADAP BIDANG FIZIK PERUBATAN




BERTAM, 1 November 2026 – Seramai 75 pelajar sekolah menengah dari sekitar Pulau Pinang dan Kedah menyertai Program Young Physicist Camp 2026 bertemakan “NextGen MedPhys: Bridging Physics to Medicine” yang berlangsung di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Program anjuran PKTAAB dengan kerjasama Persatuan Fizik Perubatan Malaysia (MAMP) itu bertujuan memperkenalkan bidang fizik, khususnya fizik perubatan, kepada generasi muda menerusi pendekatan pembelajaran interaktif dan pendedahan secara langsung terhadap aplikasi sains dan teknologi dalam persekitaran penjagaan kesihatan.


Program tersebut dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah PKTAAB; Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin, Ketua Jabatan Pengimejan Bioperubatan PKTAAB merangkap Presiden Persatuan Fizik Perubatan Malaysia; Dr. Yasmin Radzi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Fizik USM, serta Prof. Madya Dr. Noor Diyana Osman, Penyelaras Program Young Physicist Camp 2026. Turut hadir ialah guru-guru pengiring, barisan jawatankuasa penganjur dan para jemputan.
Pelbagai aktiviti interaktif berasaskan aplikasi fizik dalam perubatan disediakan menerusi lapan stesen Physics Explore Race yang merangkumi demonstrasi berkaitan bunyi dalam pengimejan ultrabunyi (ultrasound), kemagnetan dalam pengimejan resonans magnetik (MRI), penggunaan sinar-X untuk diagnosis dan rawatan, kejuruteraan bioperubatan dan robotik serta aplikasi radioaktiviti dalam bidang perubatan nuklear dan brakiterapi.


Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, penganjuran program ini merupakan inisiatif bermakna dalam membuka ruang kepada generasi muda untuk meneroka bidang fizik perubatan melalui pengalaman pembelajaran secara interaktif. Selain aktiviti demonstrasi, para peserta turut berpeluang mengikuti lawatan ke Unit Imejan, Unit Perubatan Nuklear serta Unit Radioterapi dan Onkologi PKTAAB bagi mendapatkan pendedahan lebih dekat terhadap penggunaan teknologi perubatan yang canggih dalam perkhidmatan klinikal.
Sesi bicara kerjaya yang turut diadakan memberikan gambaran mengenai peranan ahli fizik perubatan serta peluang kerjaya dalam bidang perubatan, dan sains kesihatan berkaitan. Pendedahan ini diharap dapat membantu peserta mengenali potensi dan laluan kerjaya yang boleh diceburi berdasarkan minat serta kecenderungan masing-masing.


Program ini turut berlangsung bersempena Minggu Kesedaran Radiasi 2026 yang menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai manfaat dan risiko radiasi, di samping membetulkan salah faham serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan amalan keselamatan radiasi dalam kalangan masyarakat.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Disunting oleh: Prof. Madya Dr. Noor Diyana Osman
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
