Skip to main content

PERANAN ANESTESIA MELANGKAUI DEWAN BEDAH, KESELAMATAN PESAKIT JADI KEUTAMAAN

BERTAM, 16 Oktober 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kesedaran terhadap peranan perkhidmatan anestesia sebagai komponen penting dalam memastikan keselamatan pesakit sepanjang proses rawatan menerusi penganjuran Hari Perhimpunan dan Sambutan Anestesia Sedunia 2026 Peringkat PKTAAB.
Dianjurkan oleh Unit Pembedahan dan Anestesia PKTAAB, sambutan ini mengangkat tema Hari Anestesia Sedunia 2026, “Anaesthesiology Along the Patient Pathway”, yang menekankan penglibatan pasukan anestesia dalam setiap peringkat perjalanan rawatan pesakit, bukan hanya ketika prosedur pembedahan dijalankan.
Program ini dirasmikan oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dan turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian; Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas; Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi; Dr. Zainab Ghaffur , Pakar Anestesiologi; Dr. Chua Kok Boon, Pakar Anestesiologi; serta Profesor Madya Dr. Leow Voon Meng, selaku penyelaras perhimpunan. Turut hadir ialah pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat, anggota kesihatan dan warga kerja PKTAAB.
Perkhidmatan anestesia merangkumi penilaian keadaan kesihatan dan risiko pesakit sebelum prosedur, pengurusan anestesia semasa rawatan, pemantauan selepas prosedur serta pengurusan kesakitan bagi menyokong proses pemulihan. Pelaksanaan setiap aspek ini memerlukan pertimbangan klinikal yang teliti berdasarkan keadaan dan keperluan individu pesakit.
Bagi pesakit kanser, peranan tersebut amat penting dalam menyokong kelancaran prosedur pembedahan dan intervensi klinikal yang diperlukan sepanjang rawatan. Penilaian menyeluruh, pemantauan berterusan serta koordinasi antara pasukan anestesia, pembedahan, kejururawatan dan anggota kesihatan lain membantu memastikan penjagaan diberikan secara terancang dan berkesinambungan.
Sambutan ini turut menjadi wadah penghargaan kepada pakar anestesiologi, pegawai perubatan dan jururawat anestesia atas komitmen serta profesionalisme mereka dalam mendukung keselamatan pesakit. Sumbangan pasukan ini, termasuk aspek penjagaan yang sering berlaku di sebalik tabir, merupakan sebahagian penting dalam penyampaian perkhidmatan klinikal yang selamat dan berkualiti.
Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan pemahaman warga PKTAAB terhadap skop dan kepentingan perkhidmatan anestesia, sekali gus memperkukuh kerjasama antara disiplin dalam menyediakan penjagaan yang selamat, berkualiti dan berpusatkan pesakit.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia