Skip to main content

DARI HOSPITAL KE KOMUNITI: PKTAAB PERKASA KESEDARAN KANSER DAN PENJAGAAN PALIATIF SEMPENA WHPCD 2026

AYER ITAM, 10 OKTOBER 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menyertai sambutan peringkat negeri Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia 2026 (World Hospice and Palliative Care Day, WHPCD 2026) anjuran Persatuan Kerjasama Paliatif Pulau Pinang yang berlangsung di Sunshine Central, Air Itam, Pulau Pinang.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Daniel Gooi Zi Sen, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Bertemakan “Compassionate Communities”, sambutan ini menekankan kepentingan kerjasama antara profesional kesihatan, organisasi komuniti dan sukarelawan dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit serius serta memberikan sokongan kepada keluarga dan penjaga mereka.

Sambutan ini turut mendapat sokongan pihak pengurusan tertinggi PKTAAB melalui kehadiran Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah binti Shaharuddin, dan Timbalan Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, sebagai tetamu kehormat. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan terhadap penglibatan Pasukan Paliatif PKTAAB USM dalam memperluas kesedaran masyarakat mengenai kanser, penjagaan paliatif dan kesukarelawanan.

 

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, ceramah umum bertajuk “Kesukarelawanan dari Hospital ke Komuniti” telah disampaikan oleh tiga wakil PKTAAB, USM, iaitu Dr. Siti Khairizan Rahim, Pakar Perubatan Dalaman dan Penyelaras Unit Paliatif PKTAAB; Jururawat Norjalilah Umar, jururawat terlatih dalam bidang paliatif; serta Jururawat Divanee A/P Chandrasegar.

Ceramah ini mengetengahkan peranan sukarelawan dalam menyokong pesakit yang menghidap kanser dan penyakit serius yang lain, termasuk keluarga serta penjaga mereka. Perkongsian tersebut turut menekankan kepentingan penglibatan masyarakat dalam membina komuniti yang lebih prihatin dan melengkapi usaha profesional kesihatan dalam menyediakan penjagaan yang berpusatkan pesakit dan keluarga. Selain ceramah umum, PKTAAB turut membuka reruai pameran bagi memperkenalkan perkhidmatan rawatan onkologi, penjagaan paliatif, Fellowship in Palliative Care Nursing (FPCN), program kesukarelawanan serta perkhidmatan lain yang disediakan oleh pusat tersebut.

Pelbagai aktiviti turut dijalankan bersama pengunjung, termasuk kuiz interaktif, aktiviti kraf dan jualan amal hasil kraftangan pesakit kanser. Aktiviti ini menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mengenali perkhidmatan PKTAAB dengan lebih dekat serta meningkatkan pemahaman tentang kanser dan kepentingan penjagaan paliatif.

Penyertaan warga PKTAAB dalam sambutan ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluas pendidikan kesihatan, mempromosikan perkhidmatan kanser dan penjagaan paliatif serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyokong pesakit dan keluarga. Pengalaman pelaksanaan program kesukarelawanan pada tahun 2024 turut menjadi sebahagian daripada usaha PKTAAB untuk memperkukuh penyertaan sukarelawan dalam penjagaan paliatif. Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluas jaringan sokongan dalam komuniti.

Kerjasama antara institusi kesihatan, organisasi komuniti dan sukarelawan penting dalam memastikan sokongan kepada pesakit tidak terhad kepada persekitaran hospital sahaja. Penglibatan komuniti yang berterusan dapat membantu membina persekitaran yang lebih prihatin terhadap keperluan pesakit serta keluarga mereka.

Melalui kesukarelawanan, kita bukan sekadar menghulurkan bantuan, tetapi turut membawa harapan, menyemai keprihatinan dan memastikan pesakit serta keluarga tidak berdepan perjalanan ini sendirian.

Teks disediakan oleh: Jururawat Divanee A/P Chandrasegar
Teks disunting oleh: Dr. Siti Khairizan Rahim dan Dr. Siti Nooraini binti Mohamad Yusof