Skip to main content

SAMBUTAN HARI WARGA EMAS SEDUNIA 2026 PERKUKUH KESEDARAN PENUAAN SIHAT 

BERTAM, 3 Oktober 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penuaan sihat menerusi Sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2026 yang berlangsung selama dua hari, pada 2 dan 3 Oktober 2026 di Auditorium Sains@Bertam. 

Mengangkat tema “Penuaan Sihat – Cegah Penyakit, Kekal Aktif”, program ini memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dalam kalangan warga emas, merangkumi aspek pencegahan penyakit, pengesanan awal, pemakanan yang baik, aktiviti fizikal dan kesihatan mental.

Sambutan ini turut melibatkan penyertaan komuniti setempat termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dari Kepala Batas, Sungai Dua dan Permatang Pauh. Seterusnya, Pusat Jagaan Darul Hanan, Taman Bertam Eco-Residence dan Kelab Jasabudi, sekali gus memperlihatkan komitmen bersama dalam membudayakan amalan hidup sihat serta meningkatkan kesejahteraan warga emas. 

Program dua hari tersebut dimulakan pada 2 Oktober menerusi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertemakan “Memperkukuh Kerjasama Penyelidikan untuk Semua” yang menghimpunkan kepakaran penyelidik daripada PKTAAB USM, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Sesi perkongsian penyelidik menampilkan Dr. Rohayu Hami dari PKTAAB USM, Prof. Dr. Asrenee Ab. Razak dari HPUSM, Prof. Dr. Suzana Shahar dari UKM serta Prof. Dr. Michael KH Ling dari UPM. Perbincangan pada sebelah petang pula memberi tumpuan kepada tema penyelidikan bersama dan padanan kepakaran, diikuti pembentangan pelan tindakan. Sesi tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan berkaitan kesejahteraan dan kesihatan warga emas. 

Hari kedua sambutan pada 3 Oktober pula memberi fokus kepada pengisian kesihatan dan kesejahteraan warga emas melalui sesi seminar, aktiviti senaman serta aktiviti di reruai yang disediakan. Ceramah pertama bertajuk “Hati Tenang, Hidup Bahagia: Menjaga Kesihatan Mental di Usia Emas” disampaikan oleh Prof. Dr. Asrenee Ab. Razak dari HPUSM. 

Sesi seterusnya, “Makan Sihat, Badan Cergas: Rahsia Pemakanan di Usia Emas”, disampaikan oleh Prof. Dr. Suzana Shahar dari Fakulti Sains Kesihatan, UKM, manakala ceramah “Terapi Solat: Rawat Pening dan Keresahan (Anxiety)” disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Zuraida Zainun dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. 

Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, turut menyampaikan ucapan perasmian sambutan. Menurut beliau, penganjuran program ini mencerminkan peranan PKTAAB sebagai sebuah pusat yang menggabungkan kepakaran klinikal, akademik dan penyelidikan dalam bidang kesihatan untuk memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. 

Dalam konteks peningkatan populasi warga emas, penuaan sihat bukan lagi sekadar isu kesihatan individu, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama antara institusi kesihatan, institusi akademik, komuniti dan masyarakat. 

Sehubungan itu, warga emas juga perlu dilihat bukan sekadar sebagai golongan yang memerlukan penjagaan, tetapi sebagai sebahagian daripada aset masyarakat yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan nilai yang boleh terus disumbangkan kepada keluarga, komuniti serta generasi akan datang. 

Program diakhiri dengan aktiviti di reruai dan jamuan makan tengah hari sebelum peserta bersurai. 

Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin 
Teks disunting oleh: Dr. Eva Nabiha Zamri 

Foto: Norizan Ishak, Nur Anis Farahin 
Pusat Media & Perhubungan Awam  
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi  
Universiti Sains Malaysia