Skip to main content

KPT DAN USM DEKATI KOMUNITI SUNGAI ACHEH MELALUI PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI: NADI

SUNGAI ACHEH, 19 September 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) menganjurkan Program KPT Prihatin MADANI: Network for Awareness, Detection and Community Well-Being (NADI) bagi meningkatkan kesedaran terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti setempat.

Bertemakan “Bersama Kita Sihat, Sejahtera dan Produktif”, program ini menyediakan pelbagai pengisian bermanfaat yang melibatkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, khususnya dalam aspek pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup sihat.

Turut hadir ialah Encik Saiful Rizal Mustafa yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, YB Dato’ Haji Rashidi Zinol. Program turut diserikan dengan kehadiran Dr. Shazatul Shazmin Samsudin, Pegawai Perubatan (MCH/Kualiti) Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan mewakili Pegawai Kesihatan Daerah, Seberang Perai Selatan dan Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara pengisian utama program ialah penyediaan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma kepada komuniti setempat. PKTAAB turut menyumbang kepakaran dan perkhidmatan dalam pelaksanaan saringan berkaitan kanser, termasuk saringan kanser payudara menggunakan ultrasound di dalam Koc Perubatan Mobil, selain saringan kesihatan ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) dan Audiologi (Pendengaran), saringan kanser serviks melalui pemeriksaan Pap smear serta saringan kesihatan umum dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Selain saringan kesihatan, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan golongan kanak-kanak dan komuniti setempat. Antaranya termasuk Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Memasak Aneka Resipi Kerabu yang bertujuan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat di samping memupuk kreativiti dan amalan pemakanan sihat. Program turut diserikan dengan sesi senaman Zumba “Jom Sihat Bersama Ihsan Arya” yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Penganjuran Program KPT Prihatin MADANI: NADI mencerminkan komitmen berterusan KPT dan USM bersama agensi kesihatan serta kepimpinan tempatan dalam mendekati masyarakat, memperluas akses kepada perkhidmatan saringan kesihatan dan memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan pencegahan penyakit serta penjagaan kesihatan secara menyeluruh di peringkat komuniti.

Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Disunting oleh: Dr. Shazatul Ezanni Samsudin
Unit Media dan Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM