PKTAAB PERKUKUH BUDAYA KELESTARIAN MENERUSI PERTANDINGAN INTERVENSI TRANSFORMASI PERSEKITARAN SIHAT
KEPALA BATAS, 15 September 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh budaya kelestarian di peringkat organisasi menerusi pelaksanaan Program Eko-Transformasi PKTAAB: “Hijaukan Perkhidmatan, Sejahterakan Kehidupan” yang menggabungkan inisiatif fizikal, sosial dan digital.
Usaha tersebut diketengahkan menerusi sesi verifikasi secara bersemuka Pertandingan Intervensi Transformasi Persekitaran Sihat Institusi Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di PKTAAB, hari ini.


Sesi verifikasi berkenaan memberi peluang kepada barisan panel meneliti secara langsung pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif kelestarian PKTAAB, selain mendapatkan penjelasan berkaitan usaha organisasi memperluas penglibatan warga kerja dan pelajar dalam agenda kelestarian.
Sesi ini melibatkan lima orang panel penilai, iaitu En. Draman Nen, Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Kesihatan Malaysia; Cik Norfatisyah Abdul Talib, Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Pendidikan Tinggi; En. Muhammad Najmi Marcelo Abdullah, Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Pendidikan Tinggi; En. Mohamad Faizal Ishak, Pegawai Kesihatan Persekitaran, SWCorp; serta Gs. Lily Hamaddah Ramle, Ketua Penolong Pengarah Kanan, PLANMalaysia.
Antara kekuatan utama pelaksanaan agenda kelestarian PKTAAB ialah penglibatan warga organisasi menerusi pelbagai inisiatif seperti Projek e-Bike, Wet Lab Plastic Management, Program RINTIS melalui kolaborasi PKTAAB dan SOTA serta Program Recyclables Collection Day.
PKTAAB turut memanfaatkan EcoSustain Hub sebagai platform digital bagi merekod, memantau dan menganalisis aktiviti serta penglibatan warga dalam pelbagai inisiatif kelestarian. Pendekatan berasaskan data ini membolehkan pelaksanaan aktiviti dipantau dan dinilai secara lebih sistematik.


Selain itu, sistem mata ganjaran turut digunakan sebagai salah satu mekanisme untuk menggalakkan penyertaan warga kerja dan pelajar dalam aktiviti kelestarian secara lebih interaktif dan berterusan. Antaranya, amalan harian seperti membawa bekal sendiri, mengurangkan penggunaan plastik, mengamalkan kitar semula serta menyertai aktiviti kelestarian yang dianjurkan.
Pendekatan ini bertujuan membentuk kesedaran dan perubahan tingkah laku yang dapat diteruskan di luar persekitaran kampus.
Timbalan Pengarah Klinikal & Kelestarian PKTAAB, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, berkata kelestarian perlu dilihat sebagai satu budaya yang diterapkan dalam cara warga organisasi bekerja dan menjalankan kehidupan seharian, bukan sekadar melalui pelaksanaan aktiviti tertentu.
“Matlamat akhirnya bukan sekadar mewujudkan persekitaran yang hijau, tetapi membentuk warga yang berfikiran hijau. Apabila pemikiran berubah, tingkah laku akan berubah; apabila tingkah laku berubah, budaya akan terbentuk,” katanya.
PKTAAB sebelum ini turut memperoleh penarafan Lima Daun dalam Audit Pejabat Hijau bagi dua tahun berturut-turut, iaitu 2024 dan 2025, yang mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh amalan kelestarian.


Usaha tersebut turut selari dengan aspirasi USM dalam memperkukuh agenda kelestarian, termasuk pencapaian USM yang berada di tempat kelima dunia dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026.
Melalui Program Eko-Transformasi PKTAAB, usaha kelestarian digerakkan daripada pelaksanaan aktiviti kepada pemantauan berasaskan data, seterusnya diterjemahkan kepada perubahan amalan dan pembentukan budaya dalam kalangan warga organisasi.
Penglibatan PKTAAB dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menilai pelaksanaan inisiatif kelestarian yang telah dijalankan, malah membuka ruang untuk berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh komitmen organisasi dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih hijau, sihat dan lestari.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Foto Oleh: Norizan Ishak
Unit Media dan Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM
UTAMA