UNIT PSIKOLOGI KLINIKAL PKTAAB PERKUKUH SOKONGAN KEKELUARGAAN MENERUSI PROGRAM “BREWING HOPE WITH GOOD ENOUGH PARENTING”
BERTAM, 10 September 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh pendekatan penjagaan kesihatan secara holistik menerusi penganjuran Program “Brewing Hope with Good Enough Parenting” yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam, PKTAAB hari ini.
Anjuran Unit Psikologi Klinikal PKTAAB, program berkenaan merupakan satu inisiatif rintis yang memberi penekanan kepada sokongan kekeluargaan, khususnya dalam membantu ibu bapa dan penjaga memahami aspek emosi, perkembangan serta cabaran keibubapaan secara lebih terbuka dan realistik.
Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, berkata penganjuran program tersebut selari dengan komitmen PKTAAB dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif dan holistik dengan mengambil kira bukan sahaja aspek fizikal, malah keperluan psikologi dan emosi pesakit serta keluarga. Program ini turut menjadi pencapaian penting sebagai program sulung Unit Psikologi Klinikal di PKTAAB dan mencerminkan perkembangan perkhidmatan psikologi dalam menyokong keperluan pesakit, keluarga serta komuniti, katanya.


Menurut beliau, Unit Psikologi Klinikal PKTAAB kini menyediakan perkhidmatan penilaian psikologi bagi individu neurodivergen dan neurotipikal, penjagaan paliatif serta sokongan berkaitan kanser, selain membantu menangani cabaran tingkah laku dan emosi termasuk kemurungan, gangguan mood serta keresahan.
Mengangkat tema “Brewing Hope with Good Enough Parenting”, program tersebut mengetengahkan pendekatan keibubapaan yang lebih inklusif dengan memberi penekanan kepada penerimaan, kefahaman dan sokongan terhadap keperluan setiap anak. Program ini menampilkan beberapa sesi perkongsian berkaitan keibubapaan, perkembangan kanak-kanak serta strategi sokongan yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa dan penjaga dalam kehidupan seharian.
Slot 1 bertajuk “Good-Enough Parenting: Melepaskan Beban Kesempurnaan dalam Membesarkan Anak” disampaikan oleh Dr. John Philip Louis, Profesor Adjung, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga merupakan Advanced Certified Schema Therapist, Supervisor & Trainer (ISST) serta Pengasas Bersama dan Penulis Modul Good Enough Parenting (GEP).


Menerusi perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada pendekatan Good Enough Parenting yang menekankan bahawa ibu bapa tidak perlu mengejar kesempurnaan dalam membesarkan anak, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memahami keperluan anak dan memberikan sokongan yang terbaik mengikut kemampuan.
Sementara itu, Slot 2 bertajuk “Kemahiran Sosial dan Strategi Praktikal di Rumah untuk Kanak-Kanak Berkeperluan Khas” disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Low Hui Min, Program Pendidikan Khas, USM merangkap Pengarah Urusan Brainbow Sdn. Bhd.
Perkongsian tersebut mengetengahkan kepentingan sokongan ibu bapa, amalan berpusatkan keluarga (parent support & family-centred practice) serta komunikasi berkesan dalam memenuhi keperluan anak-anak, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.


Peserta turut diberikan pendedahan mengenai kemahiran sosial dan strategi praktikal yang boleh diaplikasikan di rumah bagi menyokong perkembangan, komunikasi dan kesejahteraan anak-anak.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin
Foto Oleh: Norizan Ishak
Unit Media dan Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM
UTAMA