Skip to main content

PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI DEKATI KOMUNITI: BERSAMA MEMPERKASA PENGESANAN AWAL KANSER PAYUDARA

BERTAM, PULAU PINANG, 22 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) terus memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal kanser menerusi inisiatif saringan kesihatan komuniti yang dilaksanakan bersempena Majlis Perasmian Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) pada 22 Ogos 2026.

Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara, khususnya dalam kalangan wanita, selain membawa perkhidmatan dan pendidikan kesihatan lebih dekat kepada komuniti.
Kanser payudara kini bukan lagi penyakit yang hanya dikaitkan dengan wanita berusia. Kecenderungan pengesanan kanser payudara pada usia muda semakin membimbangkan dan keadaan ini membuktikan bahawa kesedaran serta penilaian awal amat penting dalam usaha menangani penyakit tersebut.

Bagi mendepani cabaran berkenaan, Unit Imejan PKTAAB, dengan sokongan rakan teknologi GE HealthCare, telah menawarkan pemeriksaan saringan kanser payudara menggunakan teknologi ABUS (Automated Breast Ultrasound System).

ABUS merupakan teknologi ultrasound payudara automatik yang menghasilkan imej tiga dimensi (3D) dan boleh membantu dalam penilaian payudara, terutamanya bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat (dense breasts), di mana sesetengah ketumbuhan kecil mungkin lebih sukar dinilai menggunakan mammogram sahaja.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Pasukan Program Khidmat Masyarakat & Kesihatan (PROMASK), yang berkongsi demonstrasi serta panduan praktikal mengenai Pemeriksaan Sendiri Payudara (Breast Self-Examination, BSE). Pemeriksaan ini merupakan salah satu langkah mudah yang boleh diamalkan di rumah bagi meningkatkan kesedaran terhadap sebarang perubahan pada payudara.

Melalui inisiatif saringan yang dilaksanakan, seramai 13 wanita telah dirujuk untuk menjalani penilaian lanjut menggunakan teknologi ABUS. Daripada jumlah tersebut, dua kes mencurigakan berjaya dikenal pasti dan seterusnya dirujuk kepada pasukan pembedahan PKTAAB untuk penilaian serta tindakan susulan.

Penemuan tersebut menunjukkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran dan menyediakan akses kepada penilaian awal berpotensi membantu mengenal pasti kes yang mencurigakan lebih awal, sekali gus membuka ruang kepada tindakan dan rawatan yang lebih cepat.

PKTAAB komited untuk terus memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta menyediakan perkhidmatan berkaitan pengesanan awal kanser secara berterusan. Usaha ini bertujuan memastikan komuniti mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selain memperkasakan masyarakat untuk mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan diri.
Teks disediakan oleh: Dr. Shazatul Ezanni Samsudin