USM SEMAI MINAT STEM PELAJAR DI SK BERTAM PERDANA, PULAU PINANG
KEPALA BATAS, 18 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh usaha membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Program STEM Outreach @ SK Bertam Perdana yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana, Pulau Pinang hari ini.
Program yang menyasarkan khususnya murid Tahun 1 itu bertujuan menyemai minat, meningkatkan kesedaran serta membina kecenderungan terhadap bidang STEM sejak peringkat awal pendidikan rendah melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berkaitan dengan aplikasi dalam kehidupan seharian.


Penganjuran program ini turut menjadi platform kepada warga akademik dan penyelidik USM untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dalam bidang STEM bersama murid sekolah. Penglibatan tenaga pakar daripada USM memberi peluang kepada murid meneroka pelbagai konsep sains di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.
Sepanjang program berlangsung, murid didedahkan kepada pelbagai aktiviti STEM berkonsepkan pembelajaran secara praktikal (hands-on), eksperimen, demonstrasi dan penyelesaian masalah. Pendekatan ini dirangka bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta memberikan pengalaman yang bermakna kepada murid.


Penglibatan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) turut menjadi antara komponen penting dalam menjayakan program ini apabila tujuh daripada keseluruhan 14 aktiviti STEM dikendalikan oleh para penyelidik PKTAAB. Penglibatan tersebut mencerminkan komitmen PKTAAB dalam memperluas perkongsian ilmu dan kepakaran penyelidikan kepada komuniti, khususnya dalam membentuk minat terhadap STEM sejak peringkat awal pendidikan.
Antara aktiviti yang dikendalikan oleh penyelidik PKTAAB ialah Misi Agen Jantung Cilik, Manusia dan Kuman, Jom Hasilkan Ecosoap!, Jom Jadi Saintis Haiwan, Senyum Sihat Bersama STEM, Cells on the Move serta Pipette and Spell. Aktiviti-aktiviti ini dirangka dalam bentuk interaktif dan hands-on bagi memberi peluang kepada murid meneroka konsep sains melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan mudah difahami. Pendekatan berasaskan pengalaman ini turut membantu murid menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan situasi serta aplikasi dalam kehidupan seharian.


Melalui penglibatan berkenaan, para penyelidik PKTAAB bukan sahaja berkongsi pengetahuan dalam bidang sains dan kesihatan, malah berperanan sebagai pemudah cara dalam mencetuskan rasa ingin tahu, kreativiti serta kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan murid.
Pendekatan pembelajaran secara langsung ini diharap dapat memberikan gambaran awal kepada murid tentang kepentingan STEM dalam kehidupan seharian, selain membuka ruang untuk mereka mengenali bidang penyelidikan dan kerjaya berkaitan STEM pada masa hadapan.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan ucapan perasmian penutup oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman bin Mohamed yang menekankan kepentingan memberikan pendedahan terhadap bidang sains sejak usia muda bagi membina asas pengetahuan yang kukuh dalam kalangan generasi masa hadapan.
Beliau turut menghargai komitmen para penyelidik yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan program outreach serta berkongsi kepakaran dengan komuniti sekolah. “Matlamat kita bukan sekadar membuat program, tetapi memastikan masa hadapan anak-anak ini terjamin dengan asas sains yang kukuh, sebagaimana pendekatan di negara maju yang mendedahkan kanak-kanak kepada sains seawal usia lima tahun,” ujar beliau.
Penganjuran Program STEM Outreach @ SK Bertam Perdana merupakan antara usaha berterusan USM dalam memperluas impak ilmu kepada masyarakat serta mendekatkan kepakaran universiti dengan komuniti sekolah melalui pendekatan pendidikan yang kreatif, interaktif dan berorientasikan masa hadapan.
Program ini diharap dapat terus menjadi platform berimpak dalam menyemai minat terhadap STEM sejak peringkat awal pendidikan, di samping memperkukuh hubungan antara USM, sekolah dan komuniti dalam membangunkan generasi yang berpengetahuan, kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Pengarang Berita: Nur Fadilah Safar, Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon
Jurugambar: Dr. Nozlena Abdul Samad, Ts. Dr. Asmida Isa, Puan Farakhdina Jamaludin, Safri Zainal Abidin
