SEJARAH TERCIPTA: PKTAAB USM RAI PERALIHAN KUMPULAN PERTAMA PELAJAR DOKTOR PERUBATAN KE FASA KLINIKAL




BERTAM, 12 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) mengukir satu lagi catatan bermakna apabila meraikan kejayaan kumpulan pertama pelajar Program Doktor Perubatan Sidang Akademik 2024/2025 yang telah menamatkan pengajian Fasa I menerusi Majlis Apresiasi Pelajar yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam, hari ini.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan perintis yang berjaya menyempurnakan pengajian pra-klinikal Fasa I sebelum melangkah ke Fasa II, iaitu latihan klinikal di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan. Sebagai kumpulan pertama yang menjalani Fasa I Program Doktor Perubatan di PKTAAB, perjalanan para pelajar ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian akademik, malah menjadi sebahagian daripada perkembangan awal ekosistem pendidikan perubatan di PKTAAB.


Sepanjang tempoh pengajian, para pelajar melalui pelbagai pengalaman pembelajaran yang membentuk pengetahuan, kemahiran serta nilai profesional sebagai persediaan sebelum memasuki persekitaran klinikal.
Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen, ketabahan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kumpulan perintis sepanjang menjalani pengajian.
Menurut beliau, pengalaman kumpulan pertama ini turut menjadi asas dalam membentuk identiti awal pendidikan perubatan di PKTAAB serta menjadi contoh kepada generasi pelajar yang akan datang. Beliau turut mengingatkan bahawa peralihan daripada Fasa I kepada Fasa II merupakan satu tahap penting yang memerlukan persediaan dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran serta ketahanan mental dan emosi.


Fasa klinikal akan memberikan pendedahan lebih luas melalui pengalaman pembelajaran dalam persekitaran klinikal serta interaksi secara langsung dengan pesakit dan anggota kesihatan. Sehubungan itu, para pelajar diseru agar sentiasa menghayati nilai integriti, empati, profesionalisme dan ihsan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bakal doktor, dengan kepentingan serta kesejahteraan pesakit sentiasa menjadi keutamaan.
Penghargaan turut diberikan kepada barisan pensyarah, staf akademik dan tenaga sokongan PKTAAB atas bimbingan serta sokongan sepanjang perjalanan pengajian kumpulan pertama ini. Komitmen warga PKTAAB dalam memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran menjadi antara elemen penting dalam membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa PKTAAB, Profesor Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, barisan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi, ketua-ketua jabatan, ketua program serta pegawai-pegawai utama PKTAAB.


Kini, kumpulan perintis tersebut bakal meneruskan perjalanan ke Fasa II latihan klinikal di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. Fasa ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan mereka untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran perubatan melalui pengalaman klinikal yang lebih dekat dengan pesakit.
PKTAAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar kumpulan pertama atas kejayaan menamatkan Fasa I dan mendoakan agar mereka terus cemerlang dalam pengajian serta menjadi bakal doktor yang berilmu, berintegriti, berempati dan sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan dalam perkhidmatan kesihatan.


Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
