PKTAAB ANJUR SESI LIBAT URUS PENGGUBALAN STATUT, PERKUKUH TADBIR URUS PUSAT KANSER




BERTAM, 11 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Penggubalan Statut PKTAAB sebagai platform mendapatkan pandangan dan input warga PKTAAB dalam memperkukuh asas tadbir urus serta hala tuju pusat kanser berkenaan.
Sesi yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam itu menjadi platform penting bagi mendapatkan pandangan serta input berkaitan penggubalan statut sebagai asas kepada pengukuhan tadbir urus PKTAAB.


Penggubalan Statut PKTAAB merupakan satu langkah penting dalam menyediakan kerangka perundangan yang jelas bagi menyokong struktur pentadbiran, fungsi, bidang kuasa serta pengoperasian pusat berkenaan selaras dengan aspirasi Universiti.
Pengarah PKTAAB, YBrs. Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, dalam ucapan alu-aluannya berkata, sesi libat urus tersebut merupakan platform penting bagi warga PKTAAB untuk menyuarakan pandangan, berkongsi cadangan serta memberikan input yang konstruktif terhadap penggubalan statut.
“Kehadiran dan pandangan daripada setiap warga PKTAAB amat bernilai dalam memastikan statut yang digubal ini komprehensif serta menyokong keperluan warga dan aspirasi Universiti,” katanya.


Sesi tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Undang-Undang USM, YBhg. Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi, yang menyampaikan ucapan khas dan seterusnya memimpin sesi perbincangan berkaitan aspek perundangan dalam penggubalan statut berkenaan.
Turut hadir ialah delegasi Pejabat Perundangan USM yang terdiri daripada Timbalan Penasihat Undang-Undang, Encik Izwan Hamdan, serta Penolong Penasihat Undang-Undang, Puan Hanum Muhamad Shkir @ Abdullah.


Sesi libat urus tersebut diacarakan dan dimoderatorkan oleh Timbalan Pendaftar PKTAAB, Encik Yusmadi Norashid dan berlangsung secara interaktif dengan penglibatan warga PKTAAB dalam perbincangan serta perkongsian pandangan berkaitan hala tuju dan keperluan pusat.
Penggubalan Statut PKTAAB diharapkan dapat menjadi asas penting dalam memperkukuh tadbir urus dan operasi pusat, sekali gus menyokong usaha PKTAAB untuk memperkasakan perkhidmatan klinikal, penyelidikan, pendidikan serta inovasi dalam bidang kanser ke arah mencapai aspirasi sebagai pusat rujukan kanser yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
