Skip to main content

PKTAAB USM MULAKAN IBSC2026, HIMPUNKAN PAKAR BIOKESIHATAN DAN ONKOLOGI ANTARABANGSA

KUCHING, 5 Ogos 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah memulakan Persidangan Ke-5 International Biohealth Sciences Conference (IBSC2026) di Kuching Waterfront Hotel, Sarawak yang berlangsung dari 5 hingga 7 Ogos 2026.

Turut berlangsung serentak ialah Cancer Symposium: Borneo Chapter 2026 yang menghimpunkan pakar klinikal, penyelidik, ahli akademik, profesional kesihatan dan pelajar dari dalam serta luar negara.

Bertemakan “Precision Health: Integrating Science, Technology and Care for Personalized Well-Being”, persidangan ini mengetengahkan perkembangan terkini dalam bidang epidemiologi, biologi kanser, penyelidikan translasi, onkologi klinikal, terapi sasaran serta penjagaan pesakit secara holistik.

Program hari pertama dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan PKTAAB, sebelum diteruskan dengan syarahan utama bertajuk “Cancer and Indigenous Health in Borneo” yang disampaikan oleh Dr. Marylin Umar dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Syarahan tersebut membincangkan cabaran kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat pribumi di Borneo serta usaha memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Sesi plenari seterusnya memberi tumpuan kepada topik “Advancing Oncology” yang disampaikan oleh Profesor Dr. Cheong Sok Ching dari Cancer Research Malaysia dan Dr. Voon Pei Jye dari Hospital Umum Sarawak.

Hari pertama IBSC2026 menampilkan sebanyak 17 pembentangan saintifik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, hospital dan pusat penyelidikan. Sementara itu, Cancer Symposium: Borneo Chapter 2026 menampilkan beberapa syarahan jemputan khas yang membincangkan perkembangan terkini dalam rawatan serta penjagaan pesakit kanser.

Persidangan ini turut menyediakan platform jaringan profesional yang membolehkan peserta membina kerjasama penyelidikan baharu, berkongsi idea serta memperkukuh hubungan antara institusi dalam usaha memperkasakan penyelidikan kanser di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selain itu, IBSC2026 kali ini turut mencipta kelainan menerusi penganjuran Program Komuniti bertemakan “Menyemai Minat Sains, Mencetus Inspirasi Masa Depan” yang telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Kuching dengan penyertaan seramai 125 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4. Program ini bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains dan penyelidikan.

Ditulis oleh: Halianis Yusoff
Disunting oleh: Dr. Asmida Isa

Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Universiti Sains Malaysia