PKTAAB USM PERKASA GAYA HIDUP SIHAT MENERUSI PROGRAM SEKOLAH SIHAT, AKTIF, SEGAK (PROSAS) 2026



GEORGE TOWN, 24 Julai 2026 – Seramai wakil daripada 30 buah sekolah rendah di Pulau Pinang menerima sijil penyertaan sempena Majlis Penutup Program Sekolah Sihat, Aktif, Segak (PROSAS) 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang selepas berjaya menamatkan pelaksanaan intervensi gaya hidup sihat selama lapan minggu.
Majlis berkenaan diadakan bersempena Program Showcase Pemakanan Sihat di Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Program ini menjadi platform untuk memperkukuh usaha mempromosikan amalan pemakanan sihat serta mencegah obesiti dalam kalangan murid sekolah rendah.


Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Encik Dziauddin Mat Saat; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Haji Abdullah; serta Pengarah Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.
PROSAS merupakan program flagship PKTAAB, USM yang diterajui oleh Dr. Noorsuzana Mohd Shariff dari Jabatan Kesihatan Komuniti, PKTAAB. Program ini dibangunkan melalui kerjasama strategik antara PKTAAB, USM, University of Nottingham Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan JPNPP dengan menggunakan pendekatan berasaskan bukti (evidence-based) bagi memperkasakan promosi kesihatan serta mengurangkan risiko obesiti dalam kalangan murid sekolah rendah.


Sepanjang pelaksanaan program, kerjasama erat antara pihak sekolah, Guru Besar, Guru Sihat PROSAS, ibu bapa dan rakan strategik telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan kesejahteraan murid.
PKTAAB merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan PROSAS 2026. Jalinan kerjasama antara USM, JPNPP, JKNPP, sekolah-sekolah serta komuniti diharap dapat terus diperkukuh bagi membudayakan gaya hidup sihat dan melahirkan generasi yang lebih sihat, aktif serta cemerlang pada masa hadapan.


Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hashim
Foto oleh: Dr. Noorsuzana Mohd Shariff
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
Tarikh: 24 Julai 2026
