SAINS BERTEMU SENI: KOLABORASI PKTAAB–SOTA PERKASA INOVASI STEAM MELALUI PAMERAN RINTIS



Hasil jaringan kolaborasi merentas bidang yang terjalin sejak Ogos 2025, pameran RINTIS bertemakan Physicality of the Unseen mencerminkan kejayaan kerjasama antara Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) dan School of the Arts (SOTA), Universiti Sains Malaysia (USM), dalam menghubungkan bidang sains perubatan dan seni visual menerusi pendekatan pendidikan berteraskan STEAM (Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics).
Inisiatif di bawah PKTAAB–SOTA Collaboration in Science, Medicine and the Arts ini diterajui oleh Dr. Siti Hawa Ngalim dari PKTAAB bersama Dr. Siti Rohaya Yahaya dari SOTA, USM. Projek ini melibatkan penyertaan 32 pelajar dan pensyarah SOTA yang diberi pendedahan menerusi lawatan ke makmal penyelidikan PKTAAB, fasiliti penyelidikan serta klinikal PKTAAB bagi memahami realiti rawatan kanser, teknologi pengimejan dan aplikasi sains dalam perubatan.
Menerusi pendekatan bimbingan berganda (dual mentorship), para pelajar tahun akhir SOTA telah menterjemahkan topik penyelidikan seperti biologi kanser, kesihatan mental dan virologi ke dalam Projek Tahun Akhir masing-masing. Pendedahan ini turut membuka ruang dialog antara bidang seni dan sains apabila penyelidik serta pensyarah PKTAAB terlibat dalam perkongsian ilmu sepanjang proses penghasilan karya.
Hasil karya tersebut kini dipamerkan menerusi RINTIS: Physicality of the Unseen di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM sehingga 14 Ogos 2026. Antara karya utama yang diketengahkan ialah "Sayangnya", sebuah karya ArtScience installation yang dihasilkan menerusi kolaborasi merentas bidang antara warga PKTAAB, pelajar serta Unit Farmasi. Karya ini dibangunkan oleh pasukan daripada Perkhidmatan Klinikal, PKTAAB dengan sokongan bahan dan sumber melalui inisiatif kelestarian oleh Unit Farmasi dan Unit Kelestarian, PKTAAB.


Karya yang diterajui oleh Dr. Siti Hawa Ngalim ini berjaya direalisasikan dalam tempoh dua setengah minggu menerusi kerjasama penyelidik, profesional kesihatan, ahli farmasi, pensyarah dan pelajar daripada pelbagai bidang. Diinspirasikan daripada pemerhatian dalam penjagaan kanser dan pengurusan penyakit kronik, "Sayangnya" meneroka hubungan antara rawatan, pilihan, hasil kesihatan dan kelestarian. Karya ini mengetengahkan isu ubat-ubatan yang telah dipreskripsikan tetapi tidak digunakan sepenuhnya, serta refleksi terhadap kesan keputusan tersebut terhadap perjalanan kesihatan seseorang.
Menggunakan pek pembungkusan ubat (blister packs) yang dipulangkan dan tidak digunakan sebagai medium kreatif, karya berbentuk torso manusia ini menggambarkan peluang rawatan dan pencegahan yang mungkin terlepas. Elemen berbentuk ruang hati pada karya tersebut pula melambangkan aspek emosi dan sosial dalam penjagaan kesihatan yang melangkaui rawatan perubatan semata-mata.


Turut melengkapi karya ini ialah ilustrasi anatomi dan elemen berbentuk gelembung yang menggambarkan organ yang terjejas akibat penyakit kronik dan kanser, serta mencerminkan pelbagai kemungkinan hasil kesihatan daripada risiko yang tidak dirawat kepada perubahan positif melalui intervensi awal yang tepat.
Melalui pendekatan upcycling (kitar semula kreatif), karya ini bukan sahaja memberikan nilai baharu kepada bahan farmaseutikal yang berpotensi menjadi sisa, malah mengajak masyarakat merenung tentang kepentingan penjagaan kesihatan, tanggungjawab bersama, pembaziran sumber dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan.


Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, turut meluangkan masa mengunjungi pameran RINTIS: Physicality of the Unseen bagi melihat hasil karya yang terhasil menerusi kolaborasi antara PKTAAB dan SOTA. Lawatan tersebut mencerminkan sokongan PKTAAB terhadap inisiatif yang menggabungkan elemen sains, seni dan inovasi dalam penyampaian ilmu kesihatan kepada masyarakat.
Orang ramai dijemput hadir mengunjungi pameran RINTIS: Physicality of the Unseen di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Kampus Induk USM sehingga 14 Ogos 2026.



