LAWATAN KERJA JABATAN KESIHATAN NEGERI (JKN) KEDAH KE UNIT IMEJAN, PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI (PKTAAB)



BERTAM, 9 Julai 2026 – Unit Imejan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) amat berbesar hati menerima lawatan kerja daripada barisan kepimpinan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang diketuai oleh Dr. Jeremy Rodney Davis, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan).
Lawatan ini bertujuan untuk mendalami pembangunan dan pelaksanaan sistem RADxAppt, sebuah platform digital yang dibangunkan di Unit Imejan, PKTAAB bagi memperkemas pengurusan temujanji serta mempermudah aliran kerja perkhidmatan radiologi.


Delegasi daripada JKN Kedah ini turut disertai oleh Dr. Che Mazura Binti Hussain selaku Ketua Kepakaran Radiologi Negeri Kedah, Ketua-ketua Jabatan Radiologi, Ketua-ketua Juru-X-ray, serta Pegawai-pegawai Teknologi Maklumat dari hospital-hospital di negeri Kedah. Kesemua 21 orang ahli delegasi ini telah diberi pendedahan mengenai konsep, fungsi, pelaksanaan, dan impak penggunaan sistem RADxAppt yang kini digunapakai di Unit Imejan, PKTAAB. Sistem ini telah berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan temujanji pemeriksaan radiologi, mengoptimumkan penggunaan sumber manusia, mengurangkan perbelanjaan, serta mempermudahkan urusan kerja harian. Perbincangan turut memfokuskan kepada potensi adaptasi sistem tersebut di fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah JKN Kedah sebagai usaha memperkukuh transformasi digital sektor kesihatan.


Delegasi PKTAAB pula diwakili oleh Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal dan Kelestarian), Dr. Mastura Mohd Sopian, Timbalan Pengarah (Operasi dan Piawaian), dan Dr. Shazatul Ezanni Samsudin selaku Ketua Unit Imejan, PKTAAB.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada sesi pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua institusi dalam usaha mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit, terutamanya dalam bidang radiologi.


Diharapkan jalinan kerjasama strategik antara PKTAAB USM dan JKN Kedah ini akan terus diperkukuh bagi menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan kesihatan negara, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia (PSP KKM) 2026 – 2030.
Teks disediakan oleh: Dr. Mohamad Zulfadhli Bin Abdullah
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia
