SUKJAP 4 PENJURU USM 2026:
PKTAAB TONJOL SEMANGAT JUANG TINGGI



PULAU PINANG, 5 Julai 2026 – Kontinjen Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang Kejohanan Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 4 Penjuru Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 yang berlangsung pada 3 dan 4 Julai lalu.
Kejohanan dwi-tahunan yang melibatkan kira-kira 560 atlet, pegawai, dan urusetia yang menghimpunkan wakil daripada Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, dan PKTAAB yang berentap sengit dalam 14 acara sukan. Bagi keputusan keseluruhan kejohanan, kontinjen Kampus Kesihatan telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan.


Meskipun bersaing dengan kampus-kampus gergasi, kontinjen PKTAAB tetap memberikan tentangan hebat. Pencapaian paling menonjol berjaya dilakar oleh skuad bola tampar wanita PKTAAB apabila mempamerkan aksi cemerlang untuk membawa pulang gelaran Naib Juara (Tempat Ke-2). Skuad berbasikal turut mencatatkan keputusan positif dengan menduduki tempat ke-3 keseluruhan.
Berikut merupakan rangkuman penuh pencapaian kontinjen PKTAAB sepanjang kejohanan:
- Bola Tampar Wanita: Tempat Ke-2 (Naib Juara)
- Berbasikal: Tempat Ke-3
- Bola Tampar Lelaki: Tempat Ke-4
- Bola Jaring: Tempat Ke-4
- Ping Pong: Tempat Ke-4
- Petanque: Tempat Ke-4
- Badminton: Tempat Ke-4
- Bowling: Tempat Ke-4
- Dart: Tempat Ke-4


Kemuncak kejohanan diraikan dalam majlis penutup dan makan malam yang berlangsung pada 4 Julai, jam 8:00 malam di perkarangan stadium sukan, yang turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama barisan pengurusan tertinggi universiti. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penganjuran kejohanan ini sebagai platform strategik untuk memperkukuh budaya kolaborasi dan hubungan silaturahim antara warga universiti.
Semangat kebersamaan ini dibuktikan oleh PKTAAB apabila impak sorakan dan sokongan padu para penyokong di tepi gelanggang membolehkan PKTAAB diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penyokong Terbaik. Suasana malam penghargaan itu bertambah meriah apabila salah seorang wakil PKTAAB, Mohammad Firdaus Harun, turut merangkul anugerah khas bagi kategori Outfit Atlet Paling Sempoi.
Penganjuran SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 ini jelas membuktikan komitmen berterusan universiti dan PKTAAB dalam melahirkan komuniti kampus yang seimbang, sihat, dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan modal insan USM.


Teks disediakan oleh: Nur Anis Farahin Mohd Hahsim
Unit Media dan Perhubungan Awam,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB),USM.
Tarikh: 5 Julai 2026
