BENGKEL TRANSFORMASI MODEL ANATOMI KE BENTUK 3D: APLIKASI PEMODELAN 3D UNTUK OBJEK PENDIDIKAN DAN PENGAJARAN ANJURAN PERPUSTAKAAN PKTAAB



Kepala Batas, 2 Julai 2026 – Perpustakaan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Transformasi Model Anatomi ke Bentuk 3D: Aplikasi Pemodelan 3D untuk Objek Pendidikan dan Pengajaran yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam, PKTAAB.
Bengkel ini bertujuan memperkenalkan penggunaan teknologi pemodelan 3D sebagai medium inovatif dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta pendigitalan objek pendidikan. Melalui pendekatan praktikal dan interaktif, para peserta berpeluang mempelajari teknik menghasilkan model 3D menggunakan telefon pintar dan aplikasi berasaskan web percuma bagi menghasilkan representasi digital yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang.


Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi, Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia.
Bengkel anjuran Perpustakaan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) ini diketuai oleh Puan Lizawati Muhammadan, Ketua Perpustakaan PKTAAB, bersama jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus merancang dan melaksanakan program bagi memastikan objektif bengkel dapat dicapai dengan jayanya.


Sesi bengkel telah dikendalikan oleh Encik Muhamad Nor Firdaus Bin Ab Rahman, Juruteknologi Makmal Perubatan, Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM. Beliau berkongsi kepakaran dalam bidang pemodelan 3D, visualisasi anatomi, pengimejan digital serta aplikasi teknologi 3D dalam pendidikan, penyelidikan dan dokumentasi saintifik.
Bengkel ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai institusi dan jabatan. Peserta yang hadir terdiri daripada staf perpustakaan akademik dan awam, pegawai penerbit universiti, pensyarah, pegawai muzium termasuk dari Muzium Anatomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pegawai sains, kakitangan teknikal serta pelajar. Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang profesional ini membuktikan bahawa teknologi pemodelan 3D mempunyai potensi yang luas untuk diaplikasikan merentasi bidang pendidikan, penyelidikan, pemeliharaan koleksi dan inovasi digital.



Turut hadir ialah Puan Husriati Hussain, Timbalan Ketua Pustakawan, Seksyen Perkhidmatan, Perpustakaan Hamzah Sendut, USM. Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada penceramah sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu yang diberikan serta menyempurnakan majlis penutupan bengkel.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Perpustakaan USM dalam memperkasakan budaya inovasi, transformasi digital dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi universiti untuk menerajui kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Teks dan Foto Disediakan oleh: Puan Lizawati Muhammadan
Tarikh: 2 Julai 2026
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
