MENGUBAH SISA MENJADI NILAI: PKTAAB PERKASA KOMUNITI MELALUI BENGKEL UPCYCLING FABRIK



DEWAN BANJIR AIR MELINTAS KECIL, TASEK GELUGOR, PULAU PINANG, June 27 2026
Lambakan sisa tekstil merupakan antara cabaran alam sekitar yang semakin mendapat perhatian apabila sejumlah besar pakaian dan fabrik terpakai berakhir di tapak pelupusan setiap tahun. Menyedari bahawa bahan-bahan ini masih mempunyai potensi untuk dimanfaatkan semula, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel Jahitan: Dari Fabrik Kitar Semula kepada Produk Kraftangan sempena Program Go Green & ThreadCycle Tasek Gelugor 2026 dengan kerjasama Think City, IKRAM Malaysia, Riicycle, Universiti Sains Malaysia (USM) serta komuniti setempat. Prograim ini telah diadakan pada 27 Jun 2026 bertempat di Dewan Banjir Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar melalui amalan upcycling dan ekonomi kitaran.
Sebagai rakan strategik program, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM telah dijemput sebagai fasilitator bagi melengkapkan modul latihan yang dibangunkan oleh UiTM. Penglibatan PKTAAB mencerminkan pengiktirafan terhadap pengalaman pusat ini dalam melaksanakan pelbagai program pemerkasaan komuniti berasaskan upcycling tekstil dan kelestarian sepanjang tahun lalu. Melalui perkongsian kepakaran tersebut, PKTAAB telah membimbing peserta menghasilkan aksesori seperti kerongsang daripada lebihan fabrik, sekali gus melengkapkan latihan penghasilan beg yang dikendalikan oleh UiTM.
Seramai 15 peserta komuniti telah dipilih untuk menyertai bengkel ini dan setiap peserta menerima sebuah mesin jahit mini berserta kit jahitan bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti selepas tamat program. Sepanjang bengkel, peserta mempelajari teknik menghasilkan beg menggunakan fabrik terpakai sebelum didedahkan kepada kaedah memanfaatkan lebihan cebisan kain untuk menghasilkan aksesori kreatif. Pendekatan ini memastikan hampir keseluruhan bahan tekstil dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus mengurangkan pembaziran dan menyokong konsep zero waste.
Keunikan modul yang dikendalikan oleh PKTAAB ialah penekanan kepada kreativiti dalam memanfaatkan sisa fabrik bersaiz kecil yang lazimnya dibuang selepas proses menjahit. Dengan sentuhan inovasi dan kreativiti, cebisan fabrik tersebut berjaya ditukarkan kepada aksesori yang menarik, bernilai dan berpotensi dipasarkan. Pendekatan ini membuka perspektif baharu kepada peserta bahawa aktiviti upcycling bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada komuniti melalui penghasilan produk kraftangan bernilai.


Selain bengkel jahitan, program Go Green & ThreadCycle Tasek Gelugor 2026 turut menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya pengasingan sisa melalui aktiviti pengumpulan pelbagai bahan yang boleh dikitar semula seperti pakaian dan fabrik terpakai, kotak, kertas, botol plastik serta minyak masak terpakai. Inisiatif ini memperlihatkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membudayakan amalan penggunaan lestari serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab di peringkat komuniti.
Program ini turut membuktikan bahawa kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, organisasi bukan kerajaan, pihak industri dan komuniti mampu menghasilkan impak yang lebih besar dalam memupuk budaya kelestarian. Melalui perkongsian kepakaran dan pemindahan ilmu, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu, malah didorong untuk melihat bahan buangan sebagai sumber yang masih mempunyai nilai serta potensi untuk dimanfaatkan semula.

Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), program ini menyokong SDG 4 (Quality Education) melalui pemindahan ilmu dan kemahiran, SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) melalui pemerkasaan komuniti, SDG 12 (Responsible Consumption and Production) menerusi amalan upcycling dan ekonomi kitaran, serta SDG 17 (Partnerships for the Goals) melalui kolaborasi erat antara UiTM, PKTAAB-USM, Think City, IKRAM Malaysia, Riicycle dan komuniti setempat.
Teks dan Foto Disediakan oleh: Dr. Siti Razila Abdul Razak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia


