Skip to main content

MAJLIS PENGHARGAAN UNIVERSITI 2026 - ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) 2025 & ANUGERAH SANJUNGAN BUDI (ASB) 2026: IKTIRAF KOMITMEN WARGA STAF DALAM MEMACU KECEMERLANGAN USM

sdg8sdg17

NIBONG TEBAL, 30 Jun 2026 – Majlis Penghargaan Universiti 2026 yang penuh gilang-gemilang telah disempurnakan hari ini di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin. Majlis berprestij ini telah dirasmikan oleh Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., Naib Canselor USM, yang menyampaikan amanat penghargaan serta cetusan inspirasi buat seluruh warga universiti dalam memacu kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM).

Tahun ini, pengiktirafan diberikan kepada ratusan staf cemerlang daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, dan Kampus Kesihatan. Selain penganugerahan bagi prestasi kerja bermutu tinggi, universiti turut meraikan kesetiaan dan sumbangan jangka panjang warga kerja yang telah lama berbakti demi kemajuan institusi.

Majlis kali ini melakar kenangan manis buat Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) apabila seramai 56 orang warga pusat telah diraikan. Daripada jumlah tersebut, seramai 48 orang staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 atas dedikasi dan integriti luar biasa yang dipamerkan sepanjang tahun lalu. Komponen penerima APC 2025 ini terdiri daripada 9 orang staf Kumpulan Pengurusan & Profesional (Akademik), 6 orang staf Kumpulan Pengurusan & Profesional (Pentadbiran), dan 33 orang staf daripada Kumpulan Sokongan.

Manakala, seramai 8 orang staf lagi diraikan sebagai penerima Anugerah Sanjungan Budi (ASB) 2026 sebagai tanda penghargaan tertinggi universiti atas kesetiaan dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Apa yang lebih membanggakan, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah PKTAAB USM, turut naik ke pentas sebagai salah seorang penerima anugerah yang diraikan dalam majlis penuh bermakna ini. Kejayaan beliau ini menjadi simbol kepimpinan melalui teladan yang pastinya memberikan suntikan semangat dan inspirasi yang mendalam kepada seluruh warga kerja PKTAAB.

Majlis Penghargaan Universiti ini merupakan acara tahunan yang amat signifikan sebagai tanda pengiktirafan ikhlas terhadap jasa, pengorbanan, dan komitmen tidak berbelah bahagi warga staf USM. Warga kerja yang berdedikasi ini telah banyak menabur bakti dalam usaha meningkatkan kecemerlangan jabatan serta memartabatkan nama USM di persada kebangsaan mahupun global.

Bagi memastikan detik-detik bersejarah ini dapat dikongsi bersama, majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang rasmi serta platform media sosial Facebook USM dan saluran Youtube USM, sekali gus membolehkan seluruh warga kampus dan masyarakat umum menyaksikan kejayaan para penerima.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, barisan penerima APC 2025 dan penerima ASB 2026 daripada PKTAAB serta semua penerima di USM. Semoga anugerah gilang-gemilang ini menjadi pemangkin semangat dan penanda aras untuk terus maju, berinovasi, dan kekal komited dalam memberikan sumbangan yang berimpak tinggi kepada PKTAAB dan universiti secara keseluruhan.

Teks disediakan oleh: Anis Farahin
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia