Skip to main content

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI EKONOMI KE USM, PASUKAN PKTAAB TAMPILKAN INOVASI RAWATAN KANSER HyBIRT

sdg09sdg17

BAYAN LEPAS, 23 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima lawatan kerja Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, yang bertujuan meninjau pelbagai inisiatif penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu yang dilaksanakan di universiti tersebut.

Ketibaan beliau di Sains@USM disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, sebelum sesi taklimat dan lawatan pameran yang melibatkan beberapa pusat kecemerlangan dan unit strategik universiti.

Antara entiti yang terlibat dalam sesi penerangan tersebut ialah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, Pusat Inovasi dan Perundingan, serta Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB).

Semasa lawatan ke ruang pameran PKTAAB, Dr. Jasmin Jalil, Pakar Onkologi dan Radioterapi PKTAAB, telah memberi penerangan kepada YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah mengenai Teknik HyBIRT (Hybrid Brachytherapy and Intensity-Modulated Radiotherapy), satu inovasi rawatan kanser lidah yang dibangunkan oleh pakar perubatan PKTAAB.

Teknik HyBIRT merupakan pendekatan rawatan yang tidak melibatkan pembedahan atau pemotongan lidah, sekali gus menawarkan alternatif yang berpotensi mengekalkan fungsi pertuturan dan kualiti hidup pesakit. Inovasi ini kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta telah berjaya merawat dan menyembuhkan lebih daripada 60 pesakit kanser lidah.

YB Dato’ Indera Mohd Shahar turut diberikan penerangan mengenai perkembangan penyelidikan dan perkhidmatan rawatan kanser yang ditawarkan oleh PKTAAB, termasuk usaha berterusan pusat tersebut dalam memperkenalkan pendekatan rawatan yang lebih inovatif, berkesan dan berfokuskan pesakit.

Lawatan ini mencerminkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan ekosistem penyelidikan, inovasi dan teknologi negara serta memperkukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat dan negara.

Teks disediakan oleh: Dr. Jasmin Jalil dan Puan Nurul Amira Mohd Ali

Foto oleh: Dr. Jasmin Jalil
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia