PKTAAB, PUSAT ISLAM USM DAN PTI ANJUR KURSUS PEMATUHAN SYARIAH DALAM PENGURUSAN DAN PERKHIDMATAN HAL EHWAL ISLAM


KEPALA BATAS, 22-23 Jun 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Islam USM dan Pusat Transformasi Insan (PTI) telah menganjurkan Kursus Pematuhan Syariah dalam Pengurusan dan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam pada 22 hingga 23 Jun 2026 di Dewan Kuliah A, PKTAAB, Sains@Bertam. Kursus yang disertai oleh pegawai Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta penghayatan prinsip pematuhan syariah dalam aspek pengurusan, operasi dan penyampaian perkhidmatan, sejajar dengan keperluan tadbir urus institusi yang berintegriti dan berlandaskan syarak.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah PKTAAB, manakala ucaptama bertajuk “Pematuhan Syariah dalam Pengurusan dan Perkhidmatan: Satu Tuntutan Syarak” telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Turut menyampaikan ucapan aluan ialah Ustaz Zayd Zhari, Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM).


Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Bakiah menekankan kepentingan pematuhan syariah sebagai elemen penting dalam memastikan tadbir urus organisasi dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti, khususnya dalam persekitaran institusi pendidikan tinggi yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran dan keperluan semasa.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai topik berkaitan pematuhan syariah termasuk pelaksanaan Hospital Patuh Syariah berdasarkan pengalaman di Hospital Pakar USM yang disampaikan oleh Ustazah Amira Abd Satar, Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM. Peserta turut mengikuti sesi berkaitan Konsep Pematuhan Syariah Ke arah Sistem Pengurusan Kualiti MS1900-ISO 9001 yang disampaikan secara dalam talian oleh Encik Mohammad Izzat Naqib Md Yusof, Konsultan SIRIM Academy Sdn. Bhd.


Pada hari kedua, peserta mengikuti perkongsian bertajuk “Konsep Pematuhan Syariah dalam Pengurusan, Operasi dan Perkhidmatan di Pusat Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Shukri Osman, Ketua Unit Hal Ehwal Islam PKTAAB. Sesi tersebut memberi penekanan kepada isu-isu kritikal syariah dalam pengurusan dan perkhidmatan termasuk pengurusan ibadah korban dan akikah, yuran pertandingan, aurat, ikhtilat serta pelbagai aspek lain yang berkaitan.
Peserta turut mengikuti sesi “Konsep Pematuhan Syariah dalam Pengurusan Dapur Halal (Ke arah Pengiktirafan Persijilan Halal)” yang disampaikan oleh Ustazah Nor Fadhilah Wahab dari Pusat Islam USM. Program diteruskan dengan sesi bengkel aplikasi pematuhan syariah yang memberi fokus kepada Hospital Patuh Syariah PKTAAB, pengurusan dan perkhidmatan Pusat Islam serta pengurusan dapur halal ke arah pengiktirafan pensijilan halal.


Penganjuran kursus ini menzahirkan usaha berterusan PKTAAB dan USM dalam memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai Islam serta membudayakan pematuhan syariah dalam pengurusan dan perkhidmatan, di samping meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap aspek pengurusan dan operasi dilaksanakan selaras dengan prinsip syariah dan amalan tadbir urus terbaik. Selain meningkatkan kompetensi pegawai Hal Ehwal Islam, program ini turut menyokong usaha universiti ke arah pemerkasaan tadbir urus yang mampan, berkualiti dan berintegriti.


Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
