PKTAAB TERIMA BAS BAHARU, TINGKAT KEMUDAHAN PENGANGKUTAN WARGA PKTAAB
KEPALA BATAS, 19 Jun 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sebuah bas baharu yang bakal mempertingkatkan kemudahan pengangkutan serta keselesaan warga PKTAAB dalam melaksanakan pelbagai urusan rasmi dan aktiviti institusi.
Perolehan bas tersebut dilaksanakan secara bersama antara Kampus Induk USM dan PKTAAB, dengan masing-masing menerima sebuah bas baharu menerusi peruntukan yang diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) Kampus Induk. Bas PKTAAB telah diterima secara rasmi pada 18 Jun 2026 dan mula beroperasi pada 19 Jun 2026.


Bas berkapasiti 40 penumpang itu turut dilengkapi ruang rehat khas untuk pemandu, sekali gus menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik kepada penumpang dan petugas sepanjang perjalanan.
Dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden, bas tersebut mempunyai sistem brek anti-kunci (ABS), Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS), GPS, dashcam, kamera litar tertutup (CCTV), kamera undur (reverse camera) serta Google TV bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna



Dari sudut kelestarian alam sekitar, bas baharu ini menggunakan enjin berpiawaian Euro 5 yang mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta menyokong usaha ke arah pengangkutan yang lebih mesra alam. Sistem transmisi automatik sepenuhnya yang digunakan turut membantu meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Bas ini akan digunakan untuk menyokong perkhidmatan pengangkutan warga PKTAAB termasuk perkhidmatan shuttle, urusan rasmi, program komuniti, aktiviti akademik dan pelbagai keperluan operasi institusi.


Bagi menandakan permulaan operasi bas tersebut, Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, turut bersama-sama warga PKTAAB dalam satu sesi simbolik bagi merasmikan penggunaan bas baharu berkenaan pada hari ini. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen pengurusan dalam memastikan kemudahan terbaik disediakan demi kesejahteraan dan keselesaan warga PKTAAB.
Penerimaan aset baharu ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyediakan kemudahan yang berkualiti, selamat dan moden demi meningkatkan kesejahteraan warga serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada komuniti PKTAAB khususnya.
Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Foto oleh: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
