PROJEK PENYELIDIKAN USM DIBENTANGKAN DI PERSIDANGAN ASCO ANNUAL MEETING 2026 DI CHICAGO



CHICAGO, AMERIKA SYARIKAT, 2 Jun 2026 – Unit Paliatif, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila hasil projek penyelidikan yang dibiayai menerusi Pfizer Global Medical Grant dan ASCO Foundation berjaya dibentangkan di ASCO Annual Meeting 2026 (American Society of Clinical Oncology) yang berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun 2026 di McCormick Place, Chicago, Illinois, Amerika Syarikat.
Penyelidikan bertajuk “Impact of Volunteer-Integrated Palliative Home Visits on Psychological Well-Being Among Metastatic Breast Cancer Patients in Northern Malaysia” telah dibentangkan dalam sesi pembentangan poster oleh Dr. Siti Khairizan Rahim selaku penyelidik utama. Kajian tersebut menilai impak lawatan penjagaan paliatif di rumah yang melibatkan pengintegrasian sukarelawan terhadap kesejahteraan psikologi pesakit kanser payudara metastatik di Malaysia Utara


Pasukan penyelidik terdiri daripada Dr. Siti Khairizan Rahim, Hairunnisa Mohamad Ibrahim, Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, Mohamad Zulfadhli Abdullah dan Norjalilah Umar dari PKTAAB, USM, dengan penglibatan Taylor’s College Malaysia sebagai rakan kolaborasi. Projek ini turut menerima sokongan strategik daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) serta sukarelawan komuniti yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan intervensi.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa lawatan penjagaan paliatif di rumah yang diintegrasikan dengan penglibatan sukarelawan berjaya meningkatkan empat domain utama kesejahteraan psikologi pesakit, iaitu penerimaan diri (self-acceptance), hubungan positif dengan orang lain (positive relations with others), penguasaan persekitaran (environmental mastery) dan tujuan hidup (purpose in life). Hasil kajian ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu memberikan manfaat yang signifikan kepada pesakit walaupun berdepan dengan perkembangan penyakit yang semakin mencabar.


Penyertaan dan pembentangan di persidangan onkologi bertaraf dunia ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui usaha meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser. Selain itu, kejayaan ini turut menyokong SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat menerusi kerjasama erat antara institusi akademik, badan bukan kerajaan, komuniti sukarelawan dan agensi pembiayaan antarabangsa.
Kejayaan ini diharapkan dapat memperluaskan pelaksanaan model penjagaan paliatif berasaskan komuniti di Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan penjagaan paliatif yang lebih holistik, inklusif dan mampan demi kesejahteraan pesakit pada masa hadapan.
Teks dan Foto Disediakan oleh: Puan Norjalilah Umar
Teks Disunting oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
