Skip to main content

INFECTION CONTROL SEMINAR 2026 PERKUKUH BUDAYA KESELAMATAN PESAKIT DAN PENCEGAHAN JANGKITAN

BERTAM, 13 Jun 2026 – Unit Kawalan Jangkitan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan Infection Control Seminar 2026 bertemakan “Infection Prevention: A Pillar of Quality and Patient Safety” di Auditorium Sains@Bertam. Seminar ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan komitmen warga kesihatan terhadap amalan Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (Infection Prevention and Control, IPC) sebagai tunjang utama keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Program yang berlangsung sepanjang hari itu telah menghimpunkan 70 orang peserta yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat dan pembantu pegawai perubatan dari PKTAAB, Kampus Kejuruteraan serta Pusat Sejahtera USM. Kehadiran peserta daripada pelbagai disiplin kesihatan mencerminkan komitmen warga USM dalam memperkukuh budaya keselamatan pesakit dan amalan pencegahan jangkitan secara menyeluruh.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian, PKTAAB. Dalam ucapan beliau, pencegahan dan kawalan jangkitan ditegaskan sebagai elemen kritikal dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan dipercayai masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa amalan IPC yang berkesan bukan sahaja melindungi pesakit, malah melindungi petugas kesihatan dan komuniti secara keseluruhannya.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan selaku Pengerusi Program dan Puan Sharidah Shaari selaku Ketua Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan PKTAAB.

Seminar ini menampilkan barisan penceramah berpengalaman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia yang membincangkan pelbagai aspek penting berkaitan IPC. Antara topik yang dikupas termasuk Patient Safety: Infection Prevention as a Pillar of Quality Care, Understanding and Breaking the Chain of Infection, Updates in Hospital Infection Prevention and Control, Towards Zero Harm: Infection Prevention as the Foundation of Safe Care, Evidence-Based Practices in Modern Infection Prevention serta Enhancing Multidisciplinary Teamwork in IPC.

Selain sesi ceramah ilmiah, peserta turut mengikuti sesi praktikal yang memberi pendedahan kepada aplikasi amalan terbaik dalam pencegahan jangkitan di fasiliti kesihatan. Sesi soal jawab yang berlangsung pada penghujung program pula membuka ruang perbincangan aktif antara peserta dan penceramah mengenai cabaran semasa serta strategi penambahbaikan pelaksanaan IPC di tempat kerja.

Penganjuran seminar ini selaras dengan usaha berterusan USM dalam memperkukuh budaya keselamatan pesakit, meningkatkan kompetensi profesional warga kesihatan serta menyokong agenda pembangunan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampan. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui seminar ini dapat diterjemahkan kepada amalan klinikal yang lebih berkesan demi kesejahteraan pesakit, staf dan komuniti.

Teks Disediakan dan Foto oleh: Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia