MESYUARAT STRATEGIK PKTAAB USM & YAYASAN RI: PERINCIKAN CADANGAN PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN PALIATIF DI PKTAAB



KEPALA BATAS, 10 Jun 2026 – Satu mesyuarat strategik telah diadakan hari ini bertempat di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membincangkan cadangan projek pembinaan bangunan paliatif di PKTAAB.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal & Kelestarian) PKTAAB. Mesyuarat ini turut dihadiri Dr. Mastura Mohd Sopian, Timbalan Pengarah (Operasi & Piawaian) PKTAAB, Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, Penyelaras Unit Paliatif, PKTAAB, En. Mohd Hizam Mohd Hanif, Ketua Seksyen Kejuruteraan PKTAAB, Dr. Imran Abdul Khalid, Ketua Projek Pembinaan Bangunan Paliatif, juga mewakili Pertubuhan Paliatif USM serta delegasi daripada Yayasan RI yang diketuai oleh Tuan Haji Jailani Jantan dan ditemani oleh En Muhammad Hariths Redza Nur Dzulafian, En. Muhammad Al Hazim Abdul Malik Alahmadi dan Pn. Zamrah Hamid. Perbincangan ini bertujuan untuk memberikan pencerahan terperinci mengenai keperluan pembinaan bangunan paliatif ini, meninjau tapak projek secara fizikal serta memperhalusi unjuran dana yang diperlukan bagi merealisasikan projek tersebut.


Dalam mesyuarat tersebut, Dr. Siti Nooraini yang mewakili Unit Paliatif PKTAAB dan Pertubuhan Paliatif USM telah membentangkan pelan pembangunan yang komprehensif. Pembentangan tersebut merangkumi statistik rawatan semasa, cadangan konsep bangunan paliatif serta penekanan terhadap kepentingan elemen sokongan fizikal, psikososial dan spiritual bagi pesakit paliatif serta ahli keluarga mereka.
Sebagai maklum balas kepada pembentangan tersebut, pihak Yayasan RI menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pembiayaan kos pembinaan projek ini agar segala perancangan dapat berjalan dengan lancar. Selain daripada aspek pembiayaan, konsep pembangunan bangunan baharu ini bakal menekankan pendekatan yang holistik dan mesra pesakit. Antara elemen utama yang dicadangkan termasuklah penyediaan surau bagi pesakit muslim sebagai platform atau ruang sokongan kerohanian Islam, di mana Dar Al-Qari yang terletak berhampiran PKTAAB turut dapat memberi sumbangan kepada pesakit paliatif ini. Bagi memastikan keselesaan semua, kemudahan ruang ritual untuk penganut agama lain akan turut disediakan. Kemudahan logistik tambahan seperti penyediaan van jenazah juga telah dicadangkan bagi memantapkan lagi fasiliti sokongan di premis tersebut.


Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, tindakan susulan akan diambil dan perbincangan lanjutan akan dilakukan bersama pihak Yayasan RI bagi memastikan kelangsungan projek ini. Projek ini menyokong penuh SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) melalui penyediaan akses penjagaan paliatif yang holistik dan berkualiti di utara Malaysia. Selain itu, kolaborasi antara PKTAAB USM dan Yayasan RI ini mencerminkan semangat SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat), membuktikan bahawa sinergi antara sektor akademik, kebajikan dan korporat mampu memartabatkan sistem kesihatan komuniti di Malaysia secara mampan.




Teks disediakan oleh: Dr. Siti Nooraini Mohamad
Foto oleh: En. Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
10 Jun 2026
