Skip to main content

USM DAN UiTM METERAI KERJASAMA STRATEGIK MELALUI MEMORANDUM PERJANJIAN PENGINAPAN PELAJAR

sdg17

BERTAM, 10 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam hari ini telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penyediaan kemudahan penginapan pelajar program Doktor Perubatan USM di Kolej Kediaman Al-Zahrawi, UiTM Kampus Bertam.

Majlis tandatangan perjanjian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali.

Memorandum Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama antara UiTM Kampus Bertam dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam penyediaan penginapan kepada pelajar program Doktor Perubatan USM sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.

Melalui perjanjian ini, pihak UiTM bersetuju menyediakan kemudahan penginapan di Kolej Kediaman Al-Zahrawi yang melibatkan empat buah rumah bagi kegunaan pelajar USM dengan kemudahan sokongan sedia ada seperti perkhidmatan wi-fi, surau, kafeteria, gelanggang futsal dan dobi layan diri.

Naib Canselor USM dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi pendidikan tinggi awam dalam memperkukuh jaringan kerjasama demi manfaat pembangunan pelajar dan pengoptimuman sumber secara bersama.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan penginapan yang kondusif dan sistematik amat penting dalam menyokong kesejahteraan serta kecemerlangan akademik pelajar khususnya dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

Sementara itu, pihak UiTM turut menyambut baik kerjasama berkenaan dan berharap hubungan strategik antara kedua-dua institusi akan terus diperkasakan melalui pelbagai bentuk kolaborasi lain pada masa hadapan melibatkan akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan jaringan komuniti.

Majlis turut dihadiri barisan pengurusan kanan kedua-dua universiti, pegawai akademik serta staf yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan memorandum perjanjian tersebut.

Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi awam sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negara yang holistik dan mampan.

TEKS DISEDIAKAN OLEH: NUR ANIS SYAMIMI MOHAMMAD AZMI

TEKS DISUNTING OLEH: PROF. MADYA DR. HAZWANI AHMAD YUSOF@HANAFI &; YUSMADI NORASHID

FOTO: PUSAT MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM (MPRC),
PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA