PASUKAN BOLA TAMPAR LELAKI PKTAAB (ZON 9) CIPTA SEJARAH, RANGKUL KEJUARAAN SUKJAP TIGA KALI BERTURUT-TURUT
PULAU PINANG, 9 Jun 2026 – Pasukan Bola Tampar Lelaki Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) mewakili Zon 9 sekali lagi mengukir sejarah apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dan merangkul pingat emas dalam Kejohanan Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) 2026, sekali gus mencatat hatrik kejuaraan tiga tahun berturut-turut selepas turut muncul juara pada tahun 2024 dan 2025.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh sengit dan mendebarkan, pasukan Zon 9 berjaya menewaskan Zon 6 dengan keputusan 31-26. Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan oleh pengadil, para pemain dan penyokong pasukan meraikan kemenangan penuh bermakna hasil komitmen, disiplin dan usaha gigih yang telah dicurahkan sepanjang persiapan kejohanan.


Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang diraih dengan mudah. Di sebalik pencapaian membanggakan tersebut, pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kemudahan latihan sebelum ini yang memerlukan mereka menyewa gelanggang luar. Namun, pembinaan gelanggang baharu di PKTAAB telah memberikan kemudahan yang lebih baik dan menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi pasukan sepanjang musim ini.
Sepanjang kejohanan, pasukan Zon 9 mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai pasukan tanpa kalah. Dalam Kumpulan A, mereka berjaya menewaskan Zon 7 dengan keputusan 31-23, Zon 4 (31-14) dan Zon 8 (31-29). Momentum kemenangan diteruskan pada peringkat separuh akhir apabila Zon 9 menundukkan Zon 1 dengan keputusan 31-24 sebelum melakar kemenangan bergaya ke atas Zon 6 pada perlawanan akhir.





Kejayaan mengekalkan kejuaraan SUKJAP selama tiga tahun berturut-turut membuktikan keunggulan, kesungguhan dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain serta barisan pengurusan pasukan. Pencapaian ini sekali gus meletakkan PKTAAB (Zon 9) sebagai antara pasukan paling dominan dalam acara bola tampar SUKJAP.
Diharapkan kejayaan bersejarah ini akan terus menjadi inspirasi kepada warga PKTAAB untuk mengekalkan budaya kecemerlangan, semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan dalam mengharumkan nama organisasi pada masa hadapan.

Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
9 Jun 2026
#pktaab #usm #WeLead #SUKJAP

