PASUKAN BERBASIKAL ZON 9 HADIAHKAN EMAS KEDUA KEPADA KONTINJEN PKTAAB DALAM ACARA BERBASIKAL TEAM TIME TRIAL SUKJAP 2026
PULAU PINANG, 9 Jun 2026 – Pasukan Berbasikal Zon 9 berjaya menghadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen PKTAAB apabila dinobatkan sebagai johan dalam acara Berbasikal Team Time Trial sempena Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) 2026 baru-baru ini. Kejayaan ini amat bermakna memandangkan acara berbasikal merupakan antara acara yang baru diperkenalkan dalam kejohanan Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) kali ini. Pasukan Zon 9 berjaya memanfaatkan peluang tersebut dengan mempamerkan prestasi cemerlang hasil gabungan pengalaman, ketahanan fizikal dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Pasukan yang diuruskan oleh Encik Mohd Faisol Ahmad Marzuki dibarisi oleh empat atlet berbasikal berbakat iaitu Encik Mohamad Azuwan Abu Bakar, yang turut bertindak sebagai kapten pasukan dan dikenali sebagai “Raja Trek Grik–Titiwangsa–Jeli”, Encik Mohd Abdillah Zamil Md Saad, peserta berpengalaman dalam acara Master Gran Fondo, Puan Siti Khadijah Azuden, atlet berbasikal SUKUM, serta Encik Muhammad Shahril Azmi, atlet harapan baharu pasukan.


Melalui kerjasama mantap dalam acara Berbasikal Team Time Trial, pasukan Zon 9 berjaya mengatasi cabaran dan saingan daripada pasukan lain untuk muncul sebagai juara, sekali gus menyumbang pingat emas kedua kepada kontinjen PKTAAB dalam SUKJAP 2026.
Menurut Kapten Pasukan, Encik Mohamad Azuwan Abu Bakar, kejayaan yang dicapai adalah hasil komitmen dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli pasukan sepanjang persiapan dan pertandingan.



“Alhamdulillah, pasukan berbasikal PKTAAB telah memberikan saingan yang sengit dan bertungkus-lumus dalam pertandingan SUKJAP kali ini. Komitmen dan disiplin yang tinggi membuahkan hasil. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.”
Kemenangan ini bukan sahaja membanggakan warga PKTAAB, malah mencatat sejarah tersendiri apabila nama Zon 9 terpahat sebagai antara pasukan terawal yang menjuarai acara Berbasikal Team Time Trial dalam SUKJAP 2026. Diharapkan kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada warga PKTAAB untuk terus aktif dalam bidang sukan dan seterusnya melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.


Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
9 Jun 2026
#pktaab #usm #WeLead #SUKJAP

