Skip to main content

Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia menerima kunjungan delegasi daripada Kolej Teknologi Termaju, Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM)

sdg09sdg09

KEPALA BATAS, 3 Jun 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia menerima kunjungan delegasi daripada Kolej Teknologi Termaju, Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) bagi satu sesi perkongsian ilmu dan penandaarasan dalam bidang pergigian. Lawatan yang melibatkan tenaga pengajar dan pelajar dari ADTEC JTM cawangan Taiping, Ipoh, dan JMTI (Institut Teknikal Jepun Malaysia) ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada pelajar dan tenaga pengajar mengenai bidang prostetik pergigian serta memahami proses kerja dan prosedur yang digunakan dalam penghasilan prostesis pergigian secara digital.

Sesi ini juga menjadi platform penting bagi menyediakan pengetahuan prasyarat kepada para pelajar yang bakal menyertai pertandingan di Kuala Lumpur yang memfokuskan kepada penggunaan pencetakan 3D dalam pembuatan korona (crown) dan venir gigi.

Pakar Prostodontik PKTAAB, Dr Juzailah Roffie telah menyampaikan taklimat bertajuk "Introduction to Digital Dentistry and Dental Prosthesis" yang mendedahkan peserta kepada peralihan daripada kaedah acuan konvensional kepada sistem digital yang lebih cekap. Beliau menekankan bahawa teknologi digital CAD/CAM mampu memendekkan tempoh pembuatan restorasi gigi daripada sebulan kepada hanya satu hari, di samping meningkatkan keselesaan pesakit melalui penggunaan pengimbas intraoral.

Susulan daripada sesi perkongsian tersebut, para peserta dibawa melawat fasiliti di Makmal Perkhidmatan Pergigian dan Makmal Biomaterial yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi. Lawatan ini memberi pendedahan terus kepada pengoperasian ekosistem digital yang merangkumi pengimbas intraoral, perisian CAD (ExoCAD), mesin milling, serta sistem pencetakan 3D. Peralatan ini digunakan secara bersepadu bagi menyokong aliran kerja penghasilan prostesis pergigian yang tepat dan pantas di PKTAAB.

Sorotan dari lawatan tersebut, wakil delegasi JTM menyatakan bahawa ini merupakan penyertaan sulung mereka dalam bidang pergigian digital. Pihak JTM turut menzahirkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama PKTAAB dan penganjuran latihan teknikal pada masa hadapan bagi memastikan pelajar mereka terus kompetitif dalam menguasai teknologi terkini di pasaran.

Pengarang Berita: Amar Mustaqim Zulkiflee, Naziroh Shafii, Prof Madya Ts. Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi
Jurugambar: Amar Mustaqim Zulkiflee & Azlina Abd Rahim
3 Jun 2026