Skip to main content

PROGRAM KORBAN DAN AQIQAH PKTAAB 1447H SEMARAK NILAI KEBERSAMAAN DAN KESUKARELAWANAN

sdg10

BERTAM, 28 Mei 2026 — Program Korban dan Aqiqah 1447H anjuran Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan lancar dan penuh semangat kebersamaan di Perkarangan Seksyen Kejuruteraan, PKTAAB, baru-baru ini.

Program tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang meluangkan masa bersama warga PKTAAB bagi memeriahkan program berkenaan.

Sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dalam program kali ini, menghasilkan hampir 508 kilogram daging untuk diagihkan kepada penerima yang memerlukan. Program ibadah korban ini turut mendapat sokongan padu daripada seramai 50 orang sukarelawan yang berganding bahu membantu sepanjang proses berlangsung bermula daripada persiapan awal sehingga selesai proses agihan.

Selain itu, pasukan penyembelih yang terdiri daripada empat orang turut menjalankan amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme bagi memastikan urusan korban dilaksanakan dengan sempurna serta mematuhi tuntutan syariat.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, penyelaras, penyembelih dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan setiap urusan berjalan dengan teratur dan lancar. Semangat kerjasama yang dipamerkan bukan sahaja memperkukuhkan ukhuwah sesama warga, malah mencerminkan nilai ihsan dan kebersamaan dalam menyantuni komuniti.

Program ini diharap dapat terus menjadi platform mempererat hubungan silaturahim serta menyemarakkan budaya kebajikan dan kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat. Semoga setiap usaha dan pengorbanan yang dicurahkan mendapat keberkatan serta diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT.

Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
28 Mei 2026