KESELAMATAN PESAKIT BUKAN PILIHAN — PKTAAB PERKUKUH BARISAN HADAPAN MELALUI BENGKEL PELAPORAN INSIDEN DAN PENGURUSAN RISIKO KLINIKAL



KEPALA BATAS, 19 Mei 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Jawatankuasa Pelaporan Insiden, Mortaliti dan Morbiditi telah menganjurkan Bengkel Pelaporan Insiden dan Pengurusan Risiko Klinikal sebagai inisiatif proaktif bagi memperkukuh budaya pelaporan insiden dalam kalangan petugas klinikal. Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin.
Bengkel sehari itu melibatkan seramai 40 peserta daripada pelbagai unit di CTC PKTAAB yang terdiri daripada ketua unit, pegawai perubatan, pegawai sains, penyelia jururawat, ketua jururawat dan pegawai berkaitan. Penglibatan pelbagai lapisan petugas ini mencerminkan komitmen warga CTC PKTAAB dalam memastikan keselamatan pesakit terus menjadi keutamaan utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Madya Dr. Bakiah menegaskan bahawa keselamatan pesakit merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dijadikan budaya organisasi. Beliau turut menekankan kepentingan amalan pelaporan yang telus dan berintegriti dalam membangunkan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih selamat dan berkualiti.
“Pelaporan insiden dan pengurusan risiko klinikal bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum individu. Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting untuk mengenal pasti kelemahan sistem, menambah baik perkhidmatan serta membina persekitaran rawatan yang lebih selamat, cekap dan berkualiti tinggi. Budaya ‘blame-free but accountable’ perlu diperkasakan agar setiap warga kerja berani melaporkan insiden secara profesional dan bertanggungjawab,” tegas beliau.


Bengkel ini menampilkan dua penceramah jemputan berpengalaman dalam bidang kualiti dan pengurusan risiko klinikal iaitu Dr. Tan Yen Cheng, Timbalan Pengarah Hospital Sungai Bakap serta Dr. Syazwana Binti Zainal Abidin, Ketua Unit Kualiti Hospital Kepala Batas.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek berkaitan pelaporan insiden dan pengurusan risiko klinikal termasuk kaedah pengisian borang Incident Report (IR), analisis laporan insiden, asas Root Cause Analysis (RCA), pengurusan Mortality & Morbidity (M&M), aspek medikolegal serta latihan praktikal dan sesi soal jawab interaktif.


Menurut Dr. Tan Yen Cheng, pelaporan insiden yang tepat dan lengkap memainkan peranan penting dalam memastikan penambahbaikan sistem perkhidmatan klinikal dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.
“Setiap insiden yang dilaporkan adalah peluang untuk kita belajar, memperbaiki dan mencegah kejadian serupa daripada berulang,” jelas beliau.
Dr. Syazwana pula menekankan bahawa budaya pelaporan yang positif bermula daripada kefahaman yang betul mengenai kepentingan pelaporan sebagai tanggungjawab profesional terhadap pesakit.



Penglibatan aktif peserta sepanjang bengkel berlangsung mencerminkan kesediaan dan komitmen warga CTC PKTAAB untuk membudayakan amalan pelaporan insiden yang lebih sistematik, telus dan bertanggungjawab.
Bengkel ini turut menyokong agenda keselamatan pesakit di peringkat nasional selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia serta menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3, SDG 4 dan SDG 17.
PKTAAB komited untuk meneruskan penganjuran bengkel seumpama ini secara berkala bagi memastikan warga klinikal sentiasa diperkasa dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam pengurusan insiden dan risiko klinikal.
Pengarang Berita: Puan Suziela Wati Sulaiaman
Disunting oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Foto oleh: En Norizan Ishak (MPRC) dan AJK

