Skip to main content

PKTAAB USM RAIH DUA PINGAT EMAS DI ITEX 2026

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakar kecemerlangan apabila dua inovasi yang dipertandingkan berjaya meraih pingat emas sempena International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2026) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini.

Antara inovasi yang menerima pengiktirafan emas ialah EcoShield-X yang dibangunkan di bawah pimpinan Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon. Inovasi perlindungan radiasi bebas plumbum itu berjaya meletakkan USM sebagai antara peneraju dalam inovasi perlindungan radiasi mampan dan kejuruteraan bahan termaju. Produk tersebut dibangunkan menggunakan struktur komposit nano-mikro berasaskan tungsten carbide dan bismuth oxide dalam matriks polimer bagi menawarkan alternatif perlindungan radiasi yang lebih selamat, ringan dan mesra alam berbanding sistem perlindungan konvensional berasaskan plumbum.

Selain itu, EcoShield-X turut menampilkan konfigurasi modular interlocking yang membolehkan pemasangan fleksibel serta penggunaan berskala di fasiliti pengimejan diagnostik, makmal radiofarmaseutikal dan operasi radiasi industri. Struktur inovatifnya yang ringan tetapi tahan lasak mampu meningkatkan kecekapan operasi selain mengurangkan kekangan ergonomik yang sering dikaitkan dengan sistem perlindungan tradisional.

Satu lagi inovasi yang turut meraih pingat emas ialah HyBIRT (Hybrid Brachytherapy followed by Intensity-Modulated Radiation Therapy) yang diketuai oleh Dr. Ahmad Fakrurrozi Mohamad. Pendekatan radioterapi berasaskan ketepatan bagi rawatan Oral Tongue Squamous Cell Carcinoma (OTSCC) itu memberi penekanan kepada rawatan pemeliharaan organ dengan membantu mengekalkan fungsi untuk menelan dan juga pertuturan pesakit tanpa menjejaskan keberkesanan rawatan kanser. HyBIRT sebelum ini turut menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi Top Scoring Abstract Award di ESTRO 2025 serta Best Oral Presentation Award di AOS 2025.

Kejayaan tersebut memperlihatkan komitmen PKTAAB dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi peneraju dalam bidang perubatan, kesihatan dan teknologi berkaitan kanser. Pencapaian ini juga membuktikan kemampuan penyelidik PKTAAB menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dan industri kesihatan negara.

ITEX 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Mei 2026 menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pelajar, industri dan pelabur dari pelbagai negara sebagai platform utama memperkenalkan hasil ciptaan dan inovasi baharu di peringkat antarabangsa.

Kejayaan meraih dua pingat emas ini turut memperkukuh reputasi PKTAAB sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi perubatan di Malaysia serta membuktikan keupayaan USM dalam menerajui pembangunan teknologi kesihatan dan inovasi mampan di peringkat antarabangsa.

Teks Disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali

Foto oleh: MPRC USM

Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia