HARI SUKAN PKTAABSA 2026 MERIAH, SATUKAN WARGA PKTAAB DAN PERSATUAN PELAJAR UiTM CAWANGAN BERTAM


BERTAM, 9 Mei 2026 – Program Hari Sukan Persatuan Pelajar Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAABSA), Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dengan meriah di Gelanggang Sukan PKTAAB hari ini, menghimpunkan hampir 100 penyertaan dalam kalangan warga PKTAAB dan pelajar UiTM Cawangan Bertam. Hari Sukan PKTAABSA ini telah berlangsung di Gelanggang Sukan PKTAAB yang baru sahaja dirasmikan pada 28 April 2026.
Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, turut hadir merasmikan program tersebut serta turun padang memberi sokongan dan semangat kepada para peserta yang mengambil bahagian.


Program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pelajar UiTM Cawangan Bertam itu berjaya menghimpunkan warga pelajar dan staf dalam suasana penuh semangat kesukanan, harmoni dan muhibah sekali gus mengukuhkan hubungan antara komuniti kampus.
Pelbagai acara sukan dan permainan tradisional telah dipertandingkan sepanjang program berlangsung termasuk petanque, karom, catur, bola jaring, ping pong, dam dan lain-lain acara. Kesemua acara mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang hadir dengan semangat kesukanan yang tinggi serta suasana yang penuh harmoni dan ceria.


Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara lebih santai di luar persekitaran akademik dan kerja, di samping memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, disiplin, toleransi dan semangat kesukanan yang tinggi.
Hari Sukan PKTAABSA 2026 juga dilihat selari dengan usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti, seiring dengan aspirasi pembentukan komuniti kampus yang lebih aktif, sejahtera dan seimbang dari segi fizikal serta mental.


Penganjuran program itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 5: Kesaksamaan Gender.
Program berkenaan diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga PKTAAB, malah memperkukuh identiti dan semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar merentas kampus.


Teks Disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
9 Mei 2026
